Suami Mithali Sorong Isteri Lumpuh 5km Ke Hospital

ALOR SETAR  – Biarpun penglihatan matanya kabur, seorang suami sanggup menyorong isterinya yang lumpuh menggunakan kerusi roda dari rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejauh kira-kira lima kilometer (km) untuk mendapatkan rawatan susulan bagi penyakit tiroid dan asma.

 

Kecekalan Alee Bohnah, 53, seorang warga Thailand dan telah menetap di negara ini sejak 30 tahun lalu yang terpaksa menyorong kerusi roda sambil isterinya, Che Pora Saad, 59, memangku cucunya, Mohd. Shafie Abdullah, 8, mendapat perhatian umum apabila menjadi viral di laman sosial Facebook sejak semalam.

 

Alee berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan isterinya tidak terlepas membuat pemeriksaan darah yang telah dijanjikan dengan pihak hospital sebelum ini dan dia tidak pernah merungut untuk berbuat demikian kerana pendekatan sama pernah diambilnya sebelum ini.

 

“Kami keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi semalam dan pada mulanya mahu menaiki teksi. Namun nasib tidak menyebelahi ke­rana tujuh hingga lapan buah teksi yang ditahan sudah ada penum­pang selain ada teksi yang membawa muatan sehingga tiada ruang untuk meletakkan kerusi roda.

 

“Saya sudah biasa sorong isteri menggunakan kerusi roda ke HSB, namun biasanya ada pengguna jalan raya yang prihatin berhenti dan menghantar kami ke hospital. Dalam perjalanan semalam pun, ada pengguna jalan raya yang berhenti dan hantar kami ke hospital, perkara sama juga berlaku ketika kami mahu pulang ke rumah,” ujarnya.

 

Alee menjelaskan, masalah penglihatannya yang kabur telah menyebabkan dia tidak mempunyai sebarang kenderaan kerana tidak boleh memandu.

 

“Jika saya ada wang, saya rancang untuk beli sebuah motosikal agar anak ketiga saya, Junaidah, 19, dapat menghantar ibunya ke hospital dan anak saudaranya ke sekolah,” katanya.

 

Tambahnya, dia sudah biasa berjalan kaki dalam jarak jauh kerana sering menghantar Mohd. Shafie ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

 

“Namun begitu, saya dan cucu kerap dibantu beberapa waris pelajar lain yang menghantar kami pulang ke rumah,” katanya.

 

Pada masa sama, dia mempu­nyai lima orang anak berusia antara 16 hingga 28 tahun dengan dua daripadanya mengalami masalah pembelajaran dan seorang lagi lembam.

 

“Saya hanya bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan berdekatan pasar borong di Jalan Gangsa dengan pendapatan RM30 sehari,” tambahnya.

 

Bagi yang mahu menghulurkan sumbangan kepada keluarga tersebut boleh menghubungi Alee di talian 012-5433410 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Alee Bohnah 02001-41-00002809-4. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.