Peluang Malaysia Raih Pingat Di Olimpik Semakin Baik – Khairy

KUALA LUMPUR – Peluang Malaysia untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan semakin baik dengan sukan memanah dilihat sebagai sandaran terbaru, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

 

Beliau berkata, jika sebelum ini harapan bergantung kepada badminton serta sukan terjun untuk memenangi pingat namun sukan memanah juga dilihat mempunyai potensi.

 

“Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad telah muncul juara kelayakan Olimpik di Kejohanan Memanah Asia di Thailand.

 

Ini memang satu kelayakan yang dinantikan, saya memang menjangkakan dan beliau memang layak…tahniah buat beliau,” katanya kepada pemberita ketika mengulas kejayaan Khairul Anuar layak ke Sukan Olimpik 2016, di sini semalam.

 

Pemanah utama negara itu mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan pemanah Mongolia Gantugs Jantsan 6-0 untuk meraih emas dalam aksi final di Bangkok semalam.

 

Pada kejohanan itu, hanya tiga kedudukan teratas mendapat tiket ke Olimpik Rio namun ia terhad untuk satu negara bagi setiap tiket.

 

Khairy berkata pihak kementerian akan menyediakan persiapan yang terbaik kepada Khairul Anuar supaya dapat beraksi dengan cemerlang pada kejohanan berprestij itu.

 

“Kalau tidak (pada) Olimpik tahun depan mungkin pada akan datang kita akan memenanginya (pingat) kerana kita antara negara yang terbaik di Asia dalam sukan itu dan Khairul juga adalah pemanah yang terbaik di Asia,” katanya.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.