KPDNKK Akan Perkenal Garis Panduan, Penyelarasan Harga E-Rokok

GEORGETOWN – Satu garis panduan peranti dan penyelarasan harga vape akan dikeluarkan bagi memastikan keselamatan penggunaannya yang kini semakin popular dalam kalangan masyarakat.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sehingga kini, semua agensi dan kementerian terlibat masih peringkat perbincangan bagi memastikan perkara itu diperhalusi sebelum garis panduan serta penyelarasan harga dikeluarkan.

 

Beliau berkata, masih terlalu awal dan pada peringkat perbincangan antara KPDNKK, kementerian kesihatan dan Sirim Bhd. Garis panduan itu bagi memastikan keselamatan penggunaan vape oleh masyarakat sekarang, terutama golongan muda.

 

“Garis panduan ini adalah jalan terbaik bagi memastikan penggunaan vape (yang) selamat.

 

“Jika kita lihat, ada yang terbakar di atas pesawat, perkara inilah yang kita mahu elakkan. Keutamaan kita ialah kesihatan rakyat,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan Skim ke kedai Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2015 di Little India di sini, semalam.

 

Menurutnya, jika semuanya berjalan lancar, penyelarasan harga penjualan vape akan diumumkan.

 

“Kerajaan kena buat sesuatu bagi memastikan kesihatan rakyat tidak terganggu dengan penggunaan vape atau rokok elektronik ini,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, KPDNKK melancarkan 12,000 pemeriksaan di seluruh negara menerusi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2015 bermula 5 November lalu.

 

Menurutnya, sehingga kini, tiada kes atau lapoan peniaga tidak mematuhi peraturan harga yang ditetapkan.

 

“Sejak skim ini dilancarkan, kita tidak menerima sebarang kes peniaga melanggar peraturan harga yang ditetapkan. Saya harap, dalam tempoh 10 hari skim ini dilancarkan iaitu sehingga 14 November ini, tsemua peniaga mengikut arahan yang dikeluarkan.

 

“Ini terbukti ketika lawatan saya pagi tadi (semalam) di Pasar Awam Bayan Baru mendapati semua peniaga menjual pada harga yang ditetapkan selain meletakkan tanda harga pada barang jualan,” katanya.

 

Ahmad Bashah berkata, selain kawalan harga, kesemua bekalan barang keperluan untuk musim perayaan antaranya ayam, daging kambing, kacang parpu, cili, kentang dan telur ayam mencukupi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.