Tikus Cemarkan Pemandangan, Dikuatiri Bawa Wabak Di Pantai Stulang

Johor Bahru – Kewujudan tikus yang membiak dengan banyak dan bebas berkeliaran di Pantai Stulang Laut, di sini, menimbulkan ketidakselesaan pengunjung malah mencemarkan imej bandaraya ini kepada pelancong luar.

Situasi itu juga dikhuatiri mengundang wabak penyakit kepada orang ramai yang bersantai di situ.

Peniaga, Azlan Mahras, 52 berkata, masalah berkenaan sudah lama berlarutan malah tikus berkenaan menjadikan lubang pada bahagian tembok tambak pantai itu habitat mereka.

“Sebelum ini pihak berkenaan telah menjalankan pemeriksaan di kawasan ini namun tiada tindakan susulan diambil.

“Bilangan tikus di sini makin bertambah dan biasanya keluar dari lubang-lubang tembok selepas waktu Maghrib.

“Keadaan ini menyebabkan pengunjung tak selesa kerana ia gemar berkeliaran di tong sampah terutama selepas hujan,” katanya.

Katanya, dia pernah mengambil beberapa inisiatif termasuk menggunakan racun menghapus tikus di kawasan berkenaan, namun tidak berhasil.

“Saya pernah pasang perangkap dan bakar mercun untuk hapuskan tikus di sini tetapi tak jadi.

“Kami bimbang tikus-tikus ini memudaratkan pengunjung atau mencemarkan persekitaran kawasan ini dengan wabak penyakit,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Yusri Aziz, 36, turut meluahkan kebimbangan mengenai pertambahan tikus di kawasan itu dan berharap langkah berkesan dapat diambil pihak berwajib.

“Saya percaya kewujudan tikus di sini tidak mempunyai kaitan dengan sistem pungutan sampah kerana sampah sentiasa dikutip mengikut jadual.

“Namun saya berharap tindakan lebih agresif diambil untuk mengatasi masalah ini agar tidak mencemarkan kebersihan dan keindahan pantai ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Aziz Ithnin berkata, kawalan ulangan hurungan tikus telah dijalankan dan diteruskan secara berkala.

“Langkah kawalan ini dilakukan di kawasan pantai ketika air surut dan turut dilakukan di kawasan kediaman dan tapak perniagaan sekitar Stulang ketika air pasang.

“Kami juga mengharapkan kerjasama orang ramai agar menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.