Sekali Lafaz, Elly Bergelar Isteri Kepada Azmi Hatta

Puchong –  Dengan dua kali lafaz, pelakon dan penyanyi Elly Mazlien akhirnya bergelar isteri kepada pengarah drama Azmi Hatta dalam satu majlis yang diadakan di Surau As Sakinah, dekat sini, Ahad.

Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Syed Hanafi Syed Abdullah kira-kira pukul 11.45 tengah hari.

Ia turut disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Kariah Taman Putra Perdana Ustaz Ahmad Baie Jaafar.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina, 34, menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Elly turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki, manakala membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah beg tangan, kasut, jam tangan, barang kemas, kek, dan minyak wangi.

Manakala, barang hantaran pihak perempuan pula ialah jam tangan, kasut, sirih junjung, kaca mata, beg bimbit lelaki, kek dan coklat, cincin serta minyak wangi.

Majlis akad nikah dan jamuan diadakan secara sederhana di Surau As Sakinah bersebelahan pusara ibunya Sabariah Ahmad yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Sejurus majlis akad nikah pasangan pengantin ini menziarahi pusara ibunya itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dalam majlis yang sangat sederhana.

“Saya memilih untuk mengadakan majlis di sebelah pusara ibu kerana sejak pemergiannya, setiap hari saya pergi menziarah kuburnya. Jadi saya ingin hari bersejarah ini diadakan dengan ibu saya,” ujarnya.

Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 29 Mei 2011 di Bukit Kiara Equestrian Resort.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.