Pondan: Wanita Yang Terperangkap Dalam Jasad Lelaki?

Seorang doktor muslimah dikunjungi seorang mak nyah yang mendakwa jiwanya sebenarnya ialah seorang wanita yang terperangkap dalam jasad seorang lelaki.

Mak Nyah berkenaan mahu haknya memperagakan naluri dan citra wanita di segi berpakaian, berdandan dan kehidupan penuh seorang wanita, dihormati. Beliau mahu masalah ini diperakui oleh dunia perubatan.

Namun reaksi doktor muslimah itu membuat si Mak Nyah terkesima. Doktor memberi jawapan dalam bentuk soalan – adakah anda menuduh bahawa Allah silap dan memenjarakan jiwa anda dalam raga seorang lelaki?

Adalah kurang jelas apakah pendirian sebenar doktor itu dan mengapa beliau seakan-akan menemplak Mak Nyah berkenaan dengan soalan yang agak berat begitu.

Mungkin doktor berkenaan berpegang kepada hadis di mana Rasululullah s.a.w. melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita, dan wanita yang berpakaian lelaki seperti hadis yang diriwayatkan Abu Daud.

Bagaimanapun yang perlu dipersoalkan adakah hukum ini Rasulullah tujukan kepada golongan yang menghadapi masalah Gender Identity Diaspora (GID) atau kepada mereka yang normal tetapi sengaja berpakaian songsang sedemikian?

Adalah bukan satu rahsia lagi soal saling menukar identiti gender ini adalah satu aktiviti perniagaan yang membabitkan bidang lakonan, pelacuran, promosi dan perniagaan. Ia satu industri besar.

Tidakkah mungkin bahawa masalah yang dikenali dengan GID itu sebenarnya adalah satu macam cabaran dan ujian kepada ummah dahulu hingga hari ini?

Maksudnya, jika benar GID adalah isu perubatan dan psikologi, bagaimanakah umat Islam perlu menanganinya?

Sudahkah perbincangan intensif dilakukan alim ulama agama dan juga pakar sains perubatan serta tabib Islam untuk mengenalpasti punca dan formula untuk mengubatinya?

Kegigihan ulama silam memupuk nilai dan minda sebegini harus dicontohi. Imam Syafie mewawancara ramai wanita pelbagai peringkat umur demi menghalusi soal kitaran dan proses haid wanita sebelum mengeluarkan fatwa berhubung thaharah dan seumpamanya.

Adakah isu GID ini sudah ditangani dengan terperinci oleh tabib muslim, ulama dan umarak? Sudahkah kajian berhubung punca GID ini dilakukan? Adakah ia disebabkan pendedahan awal pada kecenderungan GID atau ia dipengaruhi masalah persekitaran serta baka (genes)?

Seharusnya isu peradaban sebegini dianggap sebagai cabaran bagi umat Islam yang madani. Sebab itu, isu ujian pemikiran ini kerap berulang menghantui masyarakat demi mempertajam respon mereka pada cabaran zaman.

Memang ada meritnya hujah bahawa isu seperti GID dan juga menyentuh anjing ini dianggap sebagai satu konspirasi untuk melemahkan asas pemikiran dan amalan umat Islam.

Namun tidakkah lebih berguna jika kemungkinan ini didahului oleh satu rangkaian atau prosedur gerak kerja umat yang standard diwujud dan diamalkan terlebih dahulu sebelum menyimpulkan ini adalah kerja musuh-musuh Islam.

Adakah GID ini satu fenomena atau isu terpencil? Adakah Islam sudah mempunyai jaringan sosial dan ilmu tersusun untuk memulih, memugar dan mengukuhkan akidah mereka?

Memang Seksyen 66 Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan 1992 diperundangkan selaras semangat tegahan Rasulullah s.a.w. supaya amalan meniru ragam jantina lain tidak menular dan mencetuskan kekeliruan sosial.

Namun itu hanya bersifat menghalang atau preventive supaya ragam hidup yang songsang ini tidak menjalari masyarakat. Soalnya, mengapa tidak diperhatikan bahawa sebenarnya kini kesongsangan yang ditegah Rasulullah itu sudahpun menjadi jadi cara hidup?

Tidakkah fesyen pakaian dan dandanan bersilang lelaki dan wanita Islam hari ini dengan potongan “jilboob” yang ditegur oleh masyarakat Indonesia sudah menjadi sesuatu yang normal di Malaysia hari ini?

Jika difikirkan seadilnya, bukankah tegahan Rasulullah s.a.w. sudah dan sedang dilakukan oleh anak isteri umat Islam Malaysia sendiri? Yang mendukacitakan ialah, ahli-ahli keluarga Islam itu adalah manusia normal dan bukan penghidap GID!

Lantas perkara yang wajib dipastikan ialah, adakah sindrom ini satu masalah perubatan? Adakah ia memerlukan rawatan rapi dan terperinci? Adakah ia masalah biologi atau didikan atau dipengaruhi persekitaran?

Sehubungan itu, pendekatan apakah yang perlu digunakan bagi membantu doktor muslimah berkenaan tidak terlanjur menambah tekanan kepada Mak Nyah yang menemuinya itu dengan rasa bersalah telah menuduh Allah menzaliminya dengan memenjarakannya dalam jasad lelaki.

Umat Islam perlu kemahiran, pengetahuan dan kasih sayang untuk membantu golongan ini. Umat Islam Malaysia kini juga perlu merenung kembali di mana sempadannya di antara soal memelihara aurat dan berpakain ala jilboob.

Kembali renungi dan teliti apakah sebenarnya maksud Rasulullah bahawa Allah melaknat mereka yang berpakaian jantina lain. Adakah mereka ini mak nyah atau pondan atau sebenarnya muslim normal yang terikut cara berpakaian kafir?

Umat Islam harus menginsafi Seksyen 66 Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan itu bertujuan menghalang (preventive) tabiat meniru pakaian jantina lain oleh orang normal atau khusus untuk muslim penghidap GID?

Tidakkah mungkin lebih baik, setelah berbekal maklumat yang cukup di segi perubatan, pendidikan dan juga ilmu sosiologi (tafaqquh fin naas) dilaksanakan satu program rehabilitasi untuk generasi GID ini menerusi langkah proaktif supaya ia tidak terus-terusan menjadi tiruan generasi akan datang?

Ini juga harus diperkukuhkan dasar-dasar komunikasi dan penyiaran yang jelas betapa Rasulullah melaknat pakaian transgender ini.

Pendakwah bukan penghukum. Jika perlu juga menjatuhkan hukuman biarlah ke atas pihak yang benar-benar bersalah. Adakah mereka itu manusia yang dipenjara kecenderungan naluri jantina yang salah atau muslim normal yang tidak sedikitpun rasa berdosa berpakaian uniseks?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.