Perumahan Di Wilayah Iskandar Bukan Untuk Golongan Elit

Johor Bahru – Pembangunan kawasan perumahan di Wilayah Pembangunan Iskandar bukan hanya untuk golongan elit, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata tanggapan orang ramai perumahan yang dibina di Wilayah Iskandar hanya untuk golongan elit dan tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah, tidak tepat sama sekali.

Kerajaan negeri dengan kerjasama pemaju sentiasa komited untuk memastikan setiap golongan, termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tidak tercicir daripada mendapat manfaat daripada pembangunan pesat di kawasan ini, katanya.

“Masih terdapat ramai orang khususnya di luar Johor yang beranggapan pembangunan di Wilayah Iskandar ini langsung tidak mengambil kira soal rakyat tempatan khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Kita ingin ubah persepsi ini kerana Iskandar Malaysia sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kehendak setiap lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor, Denai Nusantara, di Johor Baru hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Latif Bandi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda) Datuk Ismail Ibrahim.

Khaled yang juga Pengerusi Bersama IRDA, berkata sebagai bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan berpendapatan rendah di Wilayah pembangunan Iskandar, ialah dengan pembinaan 3,563 unit rumah mampu milik oleh UEM Sunrise yang dijangka siap menjelang 2017.

Jumlah tersebut termasuklah 1,109 unit rumah di lima blok bangunan 12 tingkat yang bakal dibina di Denai Nusantara.

Dalam pada itu, Anwar Syahrin berkata UEM Sunrise sentiasa bertekad untuk terus membangunkan rumah mampu milik di Nusajaya, yang akan dilancarkan secara berperingkat dalam usaha memastikan pemilikan rumah oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sebagai antara syarikat pemaju perumahan terbesar di negara ini, adalah menjadi harapan kami untuk membina rumah mampu milik yang berkualiti dengan kemudahan moden untuk keselesaan dan manfaat rakyat serta dapat mempertingkat lagi kualiti hidup masayarakat,” katanya.

Denai Nusantara yang turut membabitkan pembinaan 108 unit lot kedai satu tingkat, terletak di kawasan strategik berdekatan hab pengangkutan terancang di kawasan industri Gerbang Nusajaya.

Ia dilengkapi sistem keselamatan selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, surau, tadika, pejabat pengurusan dan taman rekreasi.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perumahan-di-wilayah-iskandar-bukan-untuk-golongan-elit#sthash.pcAzIypY.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.