Melissa Harap Hentikan Sebar Spekulasi Penyakit Ibunya

Kuala Lumpur – Anak kepada pelakon veteran seniwati Mariani iaitu pelakon dan pengarah Melissa Saila berharap spekulasi tentang penyakit ibunya tidak disebarkan sebelum disahkan oleh pihak doktor.  Timbul khabar angin kononnya seniwati tersebut menghidap penyakit kanser.

Menurut Melissa, buat masa ini doktor masih membuat pemeriksaan lanjut selepas mengambil sampel darah bagi mencari punca sebenar penyakit tersebut.

“Setakat ini doktor tidak beritahu apa-apa lagi dan masih buat pemeriksaan lanjut tentang penyakit dia. Bagaimana orang luar boleh sebarkan khabar angin itu kerana saya sendiri tidak tahu.

“Saya harap jangan ada sesiapa yang buat spekulasi tentang penyakit ibu saya selagi tidak disahkan sendiri oleh pihak hospital,” katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 81, berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Sentosa, tiga hari lalu.

Mariani dibawa ke pusat perubatan itu pada pagi Selasa lalu selepas mengadu sakit perut biarpun selepas mendapat rawatan di klinik.

“Ibu saya memang sering mengalami gastrik,  tetapi pada Isnin lalu sakit dia tidak baik biarpun sudah makan ubat.

“Adik saya bawa ke klinik pada malam Isnin, selepas itu, keesokkan paginya pula saya bawa dia terus ke hopital kerana masih tidak baik. Saya risau sebab dia tidak makan beberapa hari,”katanya yang turut mengesahkan keadaan Mariani kini semakin baik dan sudah boleh bercakap dengan tetamu yang datang menziarahnya.

Mariani merupakan seorang seniwati Melayu terkenal yang juga kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma.

Antara filem yang pernah dibintanginya ialah ‘Tiga Abdul’,  ‘Saudagar Minyak Urat’, ‘Setinggan’, ‘Dendan Dari Pusara’, ‘Santau dan Puntianak Harum Sundal Malam II’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.