Isu Pondan: Muhyiddin Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah Rayuan

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan peruntukan Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita adalah bercanggah dengan Perlembagaan sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Timbalan perdana menteri berkata walaupun bukan pakar dalam hal berkenaan, beliau berasa keputusan itu perlu diteliti semula kerana ia memberi implikasi besar kepada masyarakat, apatah lagi ia berkaitan dengan Perlembagaan .

“Ia satu keputusan yang agak luar biasa, mengejutkan walaupun mahkamah yang putuskan.

“Saya baca kenyataan pihak pimpinan Islam seperti mufti dan persatuan wakili peguam Muslim yang berasa hairan bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands di bilik operasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan itu, namun pihak Jabatan Agama Islam Negeri dan Peguam Negara boleh ‘mencelah’ untuk mengemukakan rayuan supaya keputusan itu diteliti semula.

“Jadi, elok diserah pada pihak Peguam Negara, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri untuk membuat apa-apa rayuan atau sebagainya,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas memutuskan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang mengetuai panel tiga hakim membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.