Isu Pondan: Mahkamah Gagal Ambil Kira Norma Masyarakat Melayu

Kuala Lumpur – Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, keputusan mahkamah rayuan tidak bersifat mutlak dan ia perlu dibaca bersama peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang lain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan mahkamah rayuan pada Jumaat yang memansuhkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, yang menjadikan satu kesalahan jenayah bagi lelaki berpakaian seperti perempuan, kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tiga lelaki transgender beragama Islam memfailkan rayuan mencabar peruntukan jenayah syariah itu yang melarang mereka memakai pakaian jantina bertentangan, kerana mendakwa ia melanggar hak perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara, pergerakan dan hak hidup secara terhormat.

“Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca secara bersesama bukan diasing-asingkan antara satu sama lain (harmonious interpretation).

“Mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara berasingan akan hanya membawa implikasi percanggahan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sesama sendiri.

“Keputusan mahkamah rayuan tersebut juga gagal mengambil kira norma masyarakat Melayu Islam (grundnorm of the society) yang merupakan teras jati diri kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mahkamah itu telah memusnahkan struktur asas ini dan akan mengakibatkan jati diri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan pecah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penghakiman itu adalah penghakiman sah oleh sebuah mahkamah cekap, dan ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya.

PPMM menyeru Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding itu supaya memohon kebenaran merayu dalam tempoh ditetapkan.

Persatuan itu turut mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan, Kerajaan Negeri Sembilan perlu memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu.

“PPMM juga menyeru Kerajaan Persekutuan yang merupakan  “amicus curae” di dalam prosiding tersebut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan dalam rayuan tersebut.

“Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAINS) di seluruh Malaysia juga diseru memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak. Ini disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai raja,” katanya.

Baginya, keputusan itu memberi kesan terhadap undang-undang sama yang terdapat di negeri-negeri lain. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.