Gara-Gara Lari Dari Polis, Warga Indonesia Maut

Klang – Gara-gara cuba melarikan diri daripada sekatan polis, seorang lelaki warga Indonesia maut apabila kereta yang dinaiki bersama empat rakan senegaranya terbabas ke dalam tali air di Taman Bayu Emas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Agus, 22 tahun dipercayai lemas akibat terperangkap dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga rakan mangsa berusia 19 hingga 22 tahun berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dipercayai melarikan diri.

Menurutnya, polis cuba menahan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek di kawasan Kota Pendamar kerana keadaan mereka yang mencurigakan.

“Siasatan terhadap suspek yang masih hidup ini, semua mereka tidak mempunyai pengenalan diri dan bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Klang.

“Kenderaan yang dinaiki mereka asalnya didaftarkan ke atas kereta jenis wira Aeroback yang dimiliki oleh seorang lelaki yang beralamat di Cheras dan sudah mendapat status penduduk tetap,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat sementara tiga rakan mangsa di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.