Dimana Khalid Ibrahim?

Kuala Lumpur – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak kini tertanya-tanya di mana wakil rakyat yang mewakili kawasan mereka, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Meskipun menyanjungi pemimpin bekas anggota PKR itu kerana mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam pentadbirannya, mereka kini menantikan kehadiran Khalid untuk turun padang ke kawasan mereka bagi mendengar rintihan dan suara hati pengundi yang memilihnya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Tinjauan The Malaysian Insider ke dua kawasan berasingan itu mendapati kebanyakan pengundi di kawasan berkenaan tidak mengetahui lokasi Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Khalid yang kini bergerak sebagai anggota Bebas selepas dipecat PKR pada 9 Ogos lalu.

Malah, ada juga yang bingung sama ada Khalid masih lagi mewakili mereka sebagai wakil rakyat atau sebaliknya selepas tindakan disiplin yang dikenakan PKR terhadapnya.

“Hendak mengadu pun tidak boleh sekarang sebab saya tidak tahu di mana pejabat beliau,” kata Ibrahim Yaacob, 44, kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

“Sekarang urusan semuanya saya terus ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam,” katanya yang bekerja sebagai usahawan.

Berkongsi pendapat dengan Ibrahim, usahawan gerai makanan, Siti Sahrina Salehuddin, 39, berkata, Khalid dilihat kali terakhir di kawasan berkenaan ketika bulan Ramadan lalu, dalam satu majlis berbuka puasa bersama penduduk setempat.

“Selepas krisis Selangor (Khalid) senyap, tiada apa pun di sini, pejabat pun tidak tahu di mana,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Sebelum pemecatannya, Khalid berdepan dengan krisis menteri besar Selangor apabila kepimpinan PKR mahu beliau digantikan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khalid bagaimanapun enggan melepaskan jawatan itu, sekaligus menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membangkitkan beberapa isu seperti penstrukturan air Selangor, hutang beliau dengan Bank Islam termasuk siri-siri serangan membabitkan projek lebuh raya kontroversi, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Sebelum itu, Khalid juga berdepan krisis dengan Timbalan Presiden PKR yang kini Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berhubung pemecatan beliau sebagai anggota lembaga pengarah di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Penduduk yang ditemui juga berharap Khalid dapat meneruskan khidmatnya sehingga tamat penggal ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilaksanakan.

“Setakat ini saya belum melihat pejabat beliau di sini,” kata pemandu lori di Pelabuhan Klang, Ragu Pathi, 30, ketika ditemui The Malaysian Insider.

“Beliau perlu turun padang, perlu bekerja, kerana masyarakat di sini sudah memilih beliau ketika pilihan raya,” katanya.

Penduduk yang ditemui juga turut terkejut dengan cara PKR melayan Khalid kerana beliau dikenali sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak menimbulkan masalah serta mempunyai kebolehan mentadbir negeri dengan baik.

“Secara peribadi saya merasakan Khalid bagus dari segi pentadbiran beliau, kredibiliti bagus, menjaga kawasan dengan baik,” kata peniaga di Bandar Tun Razak, Alang Othman, 43.

Beliau turut berkata sering melihat Khalid menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Othman di kawasan berkenaan beberapa kali sejak dipecat.

“Beliau bagus, menjaga kawasan dengan baik, apabila berjumpa orang ramai tidak sombong,” katanya.

Johan Johari, 30, penduduk asal di Bandar Tun Razak yang bekerja sebagai penjawat awam turut berkata, beliau tidak mengetahui lokasi pusat khidmat Khalid.

“Kalau pusat khidmat PKR saya tahu, tetapi pejabat Khalid di sini saya belum nampak lagi,” katanya.

Pegawai khas Khalid di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak, Faekah Husin sebelum ini dilaporkan menggesa kepimpinan PKR untuk tidak lagi terus mendesak Khalid melepaskan jawatan di dua kawasan berkenaan kerana beliau ingin terus berkhidmat kepada rakyat.

Beliau juga menafikan khabar angin yang mengatakan Khalid akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah berkata, Khalid kini memulakan tugasnya sebagai wakil rakyat di dua kawasan berkenaan selepas berehat selama dua minggu.

“Di BTR, beliau membuka pusat khidmat rakyat, manakala di Pelabuhan Klang, pejabat baru dibuka di Bukit Tinggi,” kata Faekah, merujuk kepada Bandar Tun Razak.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perbadanan Menteri Besar (MBI) turut berkata, peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) daripada kerajaan negeri Selangor di dua kawasan yang ditadbir Khalid itu juga dihentikan.

“Saya percaya ia dibuat atas arahan Azmin,” kata Faekah.

Faekah juga menjelaskan, Khalid bakal melancarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan menganjurkan “Sajian Rakyat” yang menyediakan makanan kepada komuniti setempat dalam usahanya bertemu komuniti setempat bermula minggu hadapan.

Penduduk yang ditemui bagaimanapun merasakan Khalid akan berhadapan kesukaran untuk mentadbir dua kawasan itu kerana beliau kini bergerak atas platform Bebas tanpa sebarang sokongan parti.

“Beliau berkhidmat dengan baik, aktiviti banyak, tetapi siapa yang ingin percaya ‘one man show’,” kata Ragu.

Ragu berkata, kesukaran untuk Khalid mentadbir akan bertambah apabila “seteru politik” beliau, Azmin kini mentadbir Selangor.

“Lebih-lebih lagi Azmin kini sudah menjadi menteri besar,” katanya.

Johan berkata, meskipun Khalid menunjukkan prestasi pentadbiran yang bagus, namun tanpa mewakili mana-mana parti keadaan akan menjadi sukar untuknya.

“Tanpa parti, siapalah Khalid,” katanya. – Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.