Aliff Akhirnya Beri Penjelasan Kes Curi Telafon Bimbit Selepas 4 Bulan Berdiam Diri

Kuala Lumpur – Selepas 4 bulan berdiam diri, penyanyi kontroversi Aliff Aziz, 24 akhirnya tampil memberi penjelasan kepada media bahawa dia mengaku bersalah terhadap satu kes kecurian telefon bimbit yang berlaku di Singapura, tiga bulan lalu.

Bagaimanpun, Aliff menafikan sekerasnya dia terlibat dalam kes berkenaan dan pengakuan bersalah itu dibuat atas faktor tidak sanggup melalui proses soal siasat yang panjang.

“Jika saya dihukum gantung sekalipun, saya tetap katakan yang saya tak buat perkara itu.

“Namun, selagi saya tidak mengaku, saya tak dapat nak buat apa-apa kerana masa saya banyak terbuang disebabkan kes berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-dengar album terbarunya bertempat di Sony Music Malaysia, Publika, Solaris Hartamas hari ini.

Menurutnya, dia mempunyai pelbagai komitmen termasuk menguruskan kerjaya seni di sini.

“Ketika itu, saya sedang menjalani proses pembikinan album.

“Jadi atas nasihat peguam, saya terpaksa mengaku dan membayar denda agar proses ini dipercepatkan untuk tidak menjejaskan urusan lain saya yang sudah tertangguh.

“Lebih malang, pasport saya ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Aliff sebelum ini dikatakan menghilangkan diri daripada bidang seni dan pulang ke Singapura selama beberapa bulan.

Sebelum ini, Aliff juga memaklumkan dia pulang ke negeri kelahirannya untuk menguruskan beberapa hal peribadi dan mahu berehat bersama keluarga.

Namun, dalam tempoh itu timbul pula berita mengejutkan apabila pelantun lagu ‘Sayang Sayang’ dikenakan denda sebanyak $2,000 dolar Singapura (RM5,138) atas kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit.

Aliff melakukan kesalahan tersebut pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya didakwa mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Begitupun penyanyi tinggi lampai ini tidak menunding jari kepada mana-mana pihak lain yang terlibat.

“Apa yang berlaku adalah diluar jangkaan saya dan pada masa yang sama ia juga banyak memberi pengajaran buat saya agar lebih berhati-hati pada masa akan datang

“Sejujurnya, apa boleh saya katakan, saya berada di tempat yang salah pada masa yang salah pada ketika itu”, katanya.

Katanya, kesan kejadian berkenaan membuatkan perasannya tertekan dan mengambil keputusan memadamkan gambarnya di laman sosial Instagram dan menyepi diri buat seketika.

“Saya tidak lari daripada sesiapa. Saya ada cuma pada masa itu saya tak mahu beri apa-apa kenyataan kerana berada dalam keadaan tertekan.

“Apa yang berlaku memberi pengajaran besar pada saya dan impaknya bukan saja pada diri sendiri tetapi ibu bapa saya dan juga adik saya, Aishah yang terpaksa menanggung malu.

“Apapun, saya anggap semuanya sudah selesai. Saya kini kembali dengan semangat baru dan bersedia untuk menumpukan sepenuhnya kepada karier nyanyian”, katanya yang muncul dengan album terbaru yang memuatkan sembilan lagu berentak balada dan dijangka berada di pasaran pada Januari 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.