3 Rumah Rosak Dihempap Pokok Besar

Kuala Lumpur – Kediaman tiga keluarga rosak, apabila sebatang pokok besar tumbang dan menghempap rumah di Jalan Taman Seputeh.

Salah seorang mangsa yang juga ibu kepada Ruban Chelliah berkata, dia bernasib baik, kerana sejak pembantu rumahnya bercuti, dia telah berpindah sementara ke rumahnya di Seksyen 5, Petaling Jaya, minggu lalu.

Setelah dikhabarkan mengenai berita rumahnya dihempap pokok oleh jiran-jiran, Ruban bergegas ke bilik tidur di tingkat bawah rumahnya untuk mengutip serpihan jubin yang pecah di atas katil ibunya.

“Ibu saya tidak boleh banyak berjalan, nasib baik ketika kejadian, ibu saya tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurut Ruban, kerosakan pada rumahnya itu adalah yang paling teruk pernah berlaku, sejak dia dibesarkan di rumah berkenaan pada 1969.

Bagaimanapun, Ruban bersyukur, kerana tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu.

Keluarga Kathleen Paukmyaing yang kebetulan tiada di rumah ketika kejadian berlaku, bernasib baik kerana kedua-dua kereta yang diletakkan di halaman rumah tidak dihempap pokok.

Kerosakan rumah keluarga berkenaan hanya pada pagar yang patah dan beberapa teras tiang rumah roboh.

Kathleen yang berada di Port Dickson bersama keluarganya, sejak semalam, bergegas pulang ke rumah, sebaik sahaja dimaklumkan jirannya mengenai kejadian itu.

“Pokok yang tumbang itu sudah tua dan mungkin sudah tidak mempunyai ruang untuk akar tumbuh. Kami lega, kerana tiada pihak yang cedera dalam insiden ini,” katanya.

Rumah ketiga yang rosak ialah milik Ang Lay Teik, 55 tahun, yang ketika kejadian berlaku berada di rumah bersama isteri dan anaknya.

Meskipun tiada yang cedera, tetapi Ang sedikit sedih, kerana bumbung serta dua bilik tidur di bahagian atas rosak teruk.

“Semasa kejadian, saya terdengar bunyi yang sangat kuat dan saya tidak menyangka ia bunyi sebatang pokok tumbang,” katanya.

Kira-kira 30 hingga 45 minit selepas kejadian itu berlaku, seramai 10 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang ke kawasan berkenaan, untuk membersihkan pokok tumbang dan mengawal lalu lintas.

Proses pembersihan itu siap sepenuhnya pada jam 6.30 petang Sabtu.

Ketiga-tiga keluarga itu dinasihatkan membuat laporan polis di balai polis berdekatan, mengenai kerosakan yang dialami.

Kathleen merupakan orang pertama membuat laporan di Balai Polis Travers berkata, mereka akan menuntut kos ganti rugi daripada DBKL.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.