Kaji dulu impak golongan pendapatan rendah jika subsidi telur ditamat – Pas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas menyeru Kerajaan Madani melaksanakan kajian mendalam impak kepada pengguna terutama golongan berpenadapatan rendah terhadap cadangan penamatan subsidi telur.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu membuat kajian impak mendalam bersama semua pemegang taruh sebelum keputusan penamatan subsidi telur ayam dilaksanakan seperti dicadangkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, ini adalah penting bagi menilai kesan impak negatif kepada pengguna yang mungkin menghadapi kenaikan harga telur, yang akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Penarikan subsidi yang berjumlah RM927 juta pada tahun 2023 itu juga boleh menyebabkan pengurangan akses kepada telur, yang merupakan sumber protein penting bagi rakyat dan juga kepada industri makanan di negara ini.

“Berdasarkan jangkaan semasa harga telur mungkin boleh meningkat 20 hingga 50 peratus, bergantung kepada situasi pasaran dan respons pengeluar sekiranya subsidi ini dihentikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Khairil Nizam lagi, pada bulan September, data harga ex-farm telur ayam adalah RM 0.36 bagi Gred A, RM 0.34 bagi Gred B dan RM 0.32 bagi Gred C.

Selain itu beliau berkata, Pas juga menyeru supaya pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi seperti MyCC supaya bertegas dengan pemain-pemain industri telur ayam di negara ini untuk memastikan harga adalah stabil dan bekalan mencukupi, serta tidak mengambil kesempatan dan menekan pengguna dengan menaikkan harga mahupun mengurangkan bekalan telur ayam dari pasaran.

“Biarpun cadangan menghentikan subsidi bagi telur ayam ini mampu mewujudkan pasaran yang lebih seimbang, serta mempromosikan pasaran yang lebih kompetitif, namun impak segera dan kesan rantaian perlu diperhalusi oleh Kerajaan Madani.

“Pas berpendapat secara keseluruhannya, impak kepada pengguna adalah bergantung kepada bagaimana pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan langkah-langkah sokongan tambahan serta intervensi yang mungkin boleh diambil oleh kerajaan,” jelas beliau.

Terdahulu, Mohamad selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk menamatkan subsidi telur ayam gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.

Ujar Mohamad, penjimatan sebanyak RM100 juta tersebut bakal dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain, yang lebih mendesak.

“Justeru saya berpandangan, sudah tiba masanya kementerian ini mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C,” katanya di Putrajaya pada Rabu.

Menurut Mohamad, cadangan penamatan subsidi telur ayam telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Cadangan ini telah dikemukakan untuk pertimbangan. Jika mendapat kelulusan semua, kita boleh tamatkan subsidi,” jelasnya.

Kata beliau lagi, langkah kerajaan menamatkan subsidi ayam pada 1 November tahun lalu menunjukkan kejayaan apabila harga dan bekalan ayam di pasaran terus stabil sehingga ke hari ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat