Agong Berkenan Kurnia Pingat Kepada Anggota Tentera

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Nasir Abd Rahman.

Istiadat pengurniaan darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 di Istana Melawati di sini yang memasuki hari kedua itu menyaksikan Ahmad Nasir mendahului senarai 275 penerima pingat.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ke istiadat pengurniaan darjah itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PSAT kepada lapan penerima yang lain, Pahlawan Angkatan Tentera (38 penerima), Kesatria Angkatan Tentera (112 penerima) dan Bentara Angkatan Tentera (116 penerima).

Hadir sama pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.