Terpulang Kepada Hakim Tentukan Status Kelayakan Anwar – Pengerusi SPR

PORT DICKSON – Buat masa ini Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson walaupun status kelayakannya untuk bertanding dipersoalkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengulangi pendirian itu apabila diajukan pertanyaan tentang isu tersebut apabila ada pihak yang mendakwa Anwar hanya mendapat pengampunan penuh Yang d-iPertuan Agong (YDPA) dan bukannya pengampunan bebas .

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menerima pencalonan daripada Anwar berdasarkan pengampunan yang diberikan oleh YDPA.

“Walaubagaimanapun kami sedar akan proses perundangan yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.

“Terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan dalam perkara ini dan saya tidak boleh bercakap tindakan yang boleh diambil SPR.

“Buat masa ini Anwar adalah calon PRK,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memantau Pusat Undi Awal di Hanger Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson pagi tadi.

Beliau tiba ke PUSASDA sekitar pukul 10.15 pagi diiringi Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood , Setiausaha SPR, Mohamed Elias Abu Bakar dan beberapa pegawai kanan suruhanjaya itu.

Menurut Azhar, SPR juga secara asasnya menerima laporan berkaitan penggunaan jentera dan kemudahan kerajaan melibatkan calon popular yang mewakili kerajaan memerintah Pakatan Harapan.

Dalam perkara berkaitan, ujarnya, beliau sudah mengeluarkan kenyataan tegas pada Ahad lepas.

“Lagipun kami tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi atau laporan berkaitan isu itu.

“Saya ada membaca dan meneliti penjelasan yang diberikan Anwar dalam isu terbabit tetapi kami tidak menemui sebarang kewajaran atau asas untuk membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu,” tegasnya.

Beliau turut diminta mengulas mengenai laporan polis seorang calon bebas Stevie Chan semalam mendakwa Anwar telah memberi sogokan kepada pengundi menerusi mengumumkan projek PDTuition minggu lalu.

“Saya ada membaca berita itu di akhbar tetapi belum melihat salinan laporan polis itu.

“Tetapi sebagai seorang calon dia mempunyai hak membangkitkan isu yang dirasakan tidak betul dan buat laporan. kami biarkan polis siasat.

“Malah kami juga tidak ada sebarang pengetahuan mengenai E-Tuition itu dan biar polis siasat mengikut lunas udang undang. Saya lihat pengundi dan calon mempunyai kesedaran dan ia satu demokrasi sihat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.