Selangor Teruskan Serbuan Khalwat

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melibatkan semua kesalahan jenayah syariah, termasuk khalwat. 

Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, penguatkuasaan itu dilakukan menerusi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohammed Khusrin menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri serta diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri.

“Mais bagaimanapun akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan bertepatan prosedur operasi standard (SOP) diluluskan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru, Mais menasihati semua umat Islam di Selangor tidak melakukan apa-apa kesalahan termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam kenyataan.

Isu penguatkuasaan khalwat hangat dibahaskan selepas sebuah akhbar berbahasa Inggeris Sabtu lalu memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai berkata “tiada lagi ketukan pintu dan serbuan khalwat waktu malam“.

Laporan itu mengundang reaksi negatif pelbagai pihak, termasuk mufti yang tampil mengkritik kenyataan berkenaan.

Namun Mujahid menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam temu bual dengan wartawan akhbar itu, sebaliknya mendakwa ia dirumuskan akhbar itu sendiri.

Setiausaha Akhbar kepada Mujahid, Siti Zulaikha mendesak agar akhbar berkenaan memohon maaf kerana mengambil kenyataan menteri itu berkaitan isu khalwat di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan. 

Siti Zulaikha berkata, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap akhbar berbahasa Inggeris tersebut sekiranya permohonan maaf tidak diterima dalam tempoh 24 jam.

The Star malam tadi hanya menyiarkan penjelasan berhubung laporannya mengenai isu berkenaan dan menyatakan 

kekesalan berikutan laporan itu menimbulkan kekeliruan. 

Bagaimanapun, tiada permohonan maaf yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.