Najib berkata, sebaliknya, antara 30 pemegang saham terbesar syarikat itu merupakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), unit amanah swasta serta syarikat insuran hayat.

“Semua ini akhirnya dipegang oleh rakyat dan manfaat dipulangkan kepada rakyat sendiri.

“Ketika pentadbiran saya, saya telah memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan tumpuan diberikan kepada rakyat dalam memastikan dividen lebih tinggi bagi KWSP, PNB, Lembaga Tabung Haji dan dana lain berbanding pada akhir 1990 dan awal 2000.

“Kebanyakan projek besar di Malaysia diberi kepada syarikat-syarikat berkebolehan yang sahamnya banyak dipegang oleh tabung-tabung simpanan rakyat,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.

Menurut Najib, berbanding akhir tahun 2008, iaitu sebelum beliau menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sehingga beliau berhenti, aset KWSP naik dari RM341 bilion kepada RM841 bilion.

“Aset PNB naik dari RM120 bilion kepada RM280 bilion, aset Tabung Haji naik dari RM20.8 bilion kepada RM73 bilion manakala aset KWAP naik dari RM52 bilion kepada RM140.8 bilion,” katanya. – UTUSAN ONLINE