Kerajaan Hilang Berpuluh Bilion Kerana Guan Eng – Najib

KUALA LUMPUR – Semakin hari nampaknya semakin hebat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ‘disindir’ oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja status atau kenyataan balas antara kedua-dua pemimpin politik itu, sehinggakan kadang kala Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga `masuk gelanggang’ membela anaknya.

Malam tadi, Najib menzahirkan rasa kurang senang dengan masalah ekonomi yang didakwa semakin teruk selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Pekan itu percaya, masalah tersebut berpunca daripada seorang individu iaitu Guan Eng yang telah mengambil langkah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tidak memberi manfaat langsung kepada kerajaan atau pembeli sehingga ke hari ini.

“Kerajaan dapat apa? Rakyat dapat apa? Harga barang kian meningkat.

“Kerajaan kehilangan berpuluh-puluh bilion hasil kutipan akibat Guan Eng. Hasil kutipan ini boleh diberikan kepada B40 (isi rumah berpendapatan rendah), diberikan kepada penjawat awam walau RM80 sahaja,” kata Najib menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya.

Sehubungan itu, Najib meminta Guan Eng supaya tidak terus bersandiwara bahawa Bajet 2019 akan menjadi belanjawan yang sukar dan sebuah bajet korban.

Hal demikian ini kerana, jelas Najib, masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah kerana Guan Eng dan kerajaan PH yang lebih berminat serta memberi keutamaan kepada mempolitikkan pengurusan ekonomi negara.

“Kerajaan hari ini tidak peka dan simpati terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan termasuk keperluan penjawat awam,” sindir beliau. – UTUSAN

 

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Seri Najib;-

KERAJAAN HILANG BERPULUH-PULUH BILION KERANA LIM GUAN ENG

Saya bersimpati dengan nasib penjawat awam hari ini. Kita tahu ‘kisah sebenar’ dalam hal lantikan politik Kerajaan PH.

Penjawat awam diserang bertubi-tubi kerana tidak memenuhi kehendak dan hanya kerana mereka menjalankan tugas mengikut prosedur dan pekeliling yang ditetapkan.

Sehinggakan KSN perlu mengeluarkan kenyataan yang penuh diplomasi dalam menanganinya.

Kalau dahulu masa Kerajaan BN, kajian teliti telah dibuat setiap kali sebelum apa-apa pengumuman terutamanya dari segi implikasi terhadap kewangan kerajaan.

Elemen flip-flop menjadi satu kebiasaan bagi kerajaan hari ini.

Pada bulan April lepas, kerajaan BN umumkan penjawat awam akan dapat kenaikan satu gaji tahunan.

Saya dan Kementerian Kewangan berpendapat bahawa kerajaan berkemampuan untuk memberi kenaikan gaji ini.

Tambahan pula, ini bukan kali pertama kita memberi manfaat sebegini.

Dan duit tambahan walaupun mungkin tidak seberapa, sedikit sebanyak dapat membantu dalam meringankan beban.

Kenaikan gaji tahunan ini bermakna akan ada yang terima tambahan sekurang-kurangnya RM80 sebulan.

Kini Kerajaan PH tidak bersependapat. Kajian perlu dibuat terhadap keputusan dan kajian dahulu. Kajian atas kajian.

Naratif mereka ialah semua orang perlu berkorban dan mengambil kira kedudukan kewangan negara hari ini.

Selama ini, kedudukan kewangan negara kukuh dan diiktiraf agensi antarabangsa.

Jadi apa yang telah berlaku selepas 9 Mei? Kedudukan kewangan negara hari ini mengalami isu “kemampuan” kerana seorang sahaja – Lim Guan Eng.

Guan Eng mengambil langkah memansuhkan GST dan menggantikannya dengan SST yang sehingga kini tidak ada manfaat langsung kepada kerajaan atau pembeli.

Kerajaan dapat apa? Rakyat dapat apa?

Harga barang kian meningkat.

Kerajaan kehilangan berpuluh-puluh bilion hasil kutipan akibat Lim Guan Eng.

Hasil kutipan ini boleh diberikan kepada B40, diberikan kepada penjawat awam walau RM80 sahaja.

Tidak perlulah diteruskan dengan sandiwara Bajet 2019 belanjawan yang sukar dan sebuah Bajet Korban. Kita berdepan dengan masalah ini kerana Lim Guan Eng dan kerajaan hari ini lebih berminat dan memberi keutamaan kepada mempolitikkan pengurusan ekonomi negara.

Kerajaan hari ini tidak peka dan simpati terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan termasuk keperluan penjawat awam.

One thought on “Kerajaan Hilang Berpuluh Bilion Kerana Guan Eng – Najib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.