Kementerian Kesihatan Sahkan 2 Kematian Akibat Makan Laksa

ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang Baling.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 kes keracunan makanan lagi di Kedah.

Menurutnya, susulan maklumat yang tular di media sosial, KKM mendapati pada 6 Oktober lalu satu notifikasi dari Hospital Gerik diterima mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian.

“Siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi dari satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama terbabit, dengan gejala demam, cirit birit, dan muntah di mana dilaporkan memakan laksa jam 9.30 malam pada 4 Oktober lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada jam 5.30 petang.

“Kemudian pada 7 Oktober dua lagi kes dimasukkan ke Hospital Gerik kerana gejala keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli pada 4 Oktober di gerai sama di mana salah seorang mangsa dirujuk ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.31 petang hari sama,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Dr Norhizan berkata, selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mendapat rawatan di Hospital Baling.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan JKN Perak untuk mengenalpasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala KRM untuk segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pihak JKN Kedah sudah menjalankan pemeriksaan dan penutupan sementara premis yang terbabit untuk membantu siasatan bagi mengenalpasti punca berlakunya KRM.

“Beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

“Orang ramai diminta supaya tidak khuatir kerana kejadian wabak ini adalah terkawal dan disarankan sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.