Jika Laksa Beracun, Kami Mati Dulu – Peniaga

BALING: “Jika benar ia beracun (laksa) kami mati dulu,” itu kata pemilik gerai jualan laksa kebok, Daud Ismail, 51, yang kesal dengan tuduhan melulu ke atas perniagaannya tanpa usul periksa.

Daud yang berasal dari Kampung Landak, Kupang, yakin laksa yang dijual sejak 2003 tidak tercemar kerana disediakan dengan baik seperti biasa.

Katanya, setiap kali sebelum dijual, dia dan ahli keluarga akan merasa terlebih dahulu laksa berkenaan.

Jika beracun, saya dan keluarga dulu yang akan mati malah kami berniaga sudah 15 tahun, cuma baru tiga tahun buka gerai depan rumah.

“Apa pun kami akan rasa dulu laksa sebelum dijual, sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Daud berkata tiada sebarang bahan tambahan dimasukkan dalam laksanya selama ini.

“Kita sedia macam itu dari dulu, ubat tahan pun tak pernah dibawa masuk dalam masakan. Jika orang nak beli bawa balik jauh pun kami akan asingkan kuah sebab tak mau basi.

“Saya hanya mengetahui laksa dijual dikait dengan keracunan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling datang melakukan pemeriksaan pada 11 pagi kelmarin,” katanya.

Menurut Daud, mereka mengambil sampel laksa, kuah dan sayur dan kali kedua mereka membuat pemeriksaan pada jam 9 pagi semalam namun hanya mengambil sayur sahaja.

“Kami juga hanya mengetahui ada dua orang mati selepas makan laksa ini malam kelmarin selepas menerima mesej yang tular.

“Selepas itu, saya rasa susah hati, nak makan nasi tak lalu, tidur tak lena dan fikir siapa lagi nak datang rumah,” katanya.

Daud berkata, pucuk selom digunakan dalam laksa pada hari Isnin hingga Ahad manakala salad pada Rabu hingga Sabtu.

“Pucuk Selom saya beli di Sik, jika ada baki akan dibawa sampai Selasa manakala salad pula dibeli dari pasar di Pekan Kupang di mana setiap minggu saya membeli di tempat sama.

“Kesan tular itu dapat dilihat apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan menoleh ke gerai jualan saya kerana kebiasaannya tidak begitu,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa dapat siasat dengan adil dan menganggap ini ujian Allah serta sabar dengan apa yang berlaku,” katanya.

NSTP semalam melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.