20,000 Hilang Kerja, 600 Syarikat Hilang Pendapatan Selepas Kontrak MRT2 Ditamatkan

KUALA LUMPUR – MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung penamatan kontrak bawah tanah Transit Aliran Massa 2 (MRT2) oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd atau kerajaan.

“Tidak ada pengesahan rasmi daripada MRT Corp bahawa MMC Gamuda telah ditamatkan khidmat sebagai kontraktor bawah tanah,” kata Gamuda Bhd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

MMC-Gamuda adalah syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC Corporation Bhd.

Gamuda berkata, syarikat usaha sama itu terlibat dalam perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Kewangan sejak 2 bulan lalu untuk mengkaji skop kerja dan spesifikasi projek dengan matlamat mencapai kompromi pengurangan kos.

Syarikat itu juga bersetuju menukar model rakan kongsi penyerahan projek (PDP) kepada kontrak “turnkey” tunggal untuk kerja bertingkat dengan penurunan harga sebanyak 23%.

Mengenai kerja bawah tanah, katanya, MMC-Gamuda setakat ini menawarkan pengurangan 24% untuk baki kerja bawah tanah.

Berikutan penamatan kontrak itu, Gamuda berkata, ia akan mengakibatkan kehilangan kerja kepada lebih 20,000 tenaga kerja terlibat dalam kerja bawah tanah daripada rantaian bekalan lebih 600 syarikat Malaysia.

Daripada 20,000 itu, lebih 3,000 adalah kakitangan usaha sama MMC-Gamuda dan lebih 60% ialah Bumiputera.

Ini akan menyebabkan kesulitan tidak perlu kepada sejumlah besar tenaga kerja Malaysia dalam pasaran yang sudah lembap.

“Di samping itu, penamatan itu akan mendedahkan MMC-Gamuda kepada tindakan undang-undang untuk pampasan daripada pekerja, subkontraktor, pembekal, pengeluar dan lain-lain yang kontraknya akan ditamatkan.”

Gamuda berkata, dalam eksesais membuka tender kepada syarikat antarabangsa yang dirancang Kementerian Kewangan, hanya kontraktor asing layak, melainkan jika kementerian menurunkan syarat.

“Kontrak terbabit sudah pasti akan diberikan kepada kontraktor asing yang kemudiannya menggunakan kakitangan berpengalaman dari negara mereka.” – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.