SPRM Tahan Tiga Pemimpin Dua Parti Politik Kes Seleweng RM1.5 Bilion

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dianggarkan bernilai RM1.5 bilion di Sabah.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga mereka merupakan pemimpin daripada dua parti politik.

“Ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira 5 petang tadi di pejabat SPRM Tenom dan Tawau,” katanya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Khamis lepas, SPRM menahan tiga individu termasuk seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian dalam siasatan berhubung penyelewengan dana berkaitan projek di Sabah sejak 2009 hingga 2015.

Jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan pusat yang disalurkan untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah.

Kesemua suspek yang ditahan sebelum ini telah direman bagi membantu SPRM menjalankan siasatan lanjut. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.