Realisasi Telefilem Mak Cun VS Joyah Vegas

Kagum dengan kejayaan usahawan kelahiran Malaysia yang menetap di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) iaitu Joyah Vegas, pengarah Erma Fatima berjaya memujuk pemilik nama sebenar, Pon Jumat itu untuk berlakon dalam telefilem terbaharu Mak Cun yang akan memulakan penggambaran pada Disember depan.

Erma atau nama sebenarnya, Erma Fatimah Rahmad, 49, menjelaskan, telefilem berjudul Mak Cun VS Joyah Vegas itu akan menjalani penggambaran di sekitar Las Vegas dan Los Angeles, AS.

Menurut pengarah filem Embun itu, dia amat tertarik tentang perjalanan kehidupan Joyah Vegas yang mampu memiliki 10 buah rumah inap di Las Vegas dan menjadi usahawan hartanah berjaya di sana.

“Saya sempat menghabiskan masa selama tiga hari bersamanya (Joyah Vegas) selepas menghadiri pertunjukan Couture Fashion Week New York pada awal September lalu.

“Memang saya merancang untuk bertemu dengan Joyah di Las Vegas untuk berbincang mengenai projek drama bersiri mengenai kisah hidupnya yang akan saya terbitkan.

“Pada mulanya saya membayangkan watak dirinya akan dilakonkan orang lain.

“Bagaimanapun, idea untuk mengajak Joyah berlakon dalam telemovie mungkin dapat direalisasikan lebih awal apabila dia sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk berlakon,” kata Erma ketika ditemui pada sesi perkongsian kisah Mak Cun ke Couture Fashion Week New York di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Beverly Hills

Kongsi Erma lagi, dia teruja kerana Joyah memberikan kerjasama yang baik untuk terlibat dalam telefilemnya nanti.

“Kalau ingin berlakon dalam cerita Mak Cun, seseorang itu perlu ‘ting tong’ dan saya nampak perkara itu dalam diri Joyah Vegas.

“Biarpun sudah berjaya di negara orang, dia tidak pernah meninggi diri, sebaliknya sentiasa merendah diri. Dia pun sudah bersetuju untuk berlakon sama dan apabila produksi saya berkunjung ke Los Angeles pada Disember nanti, penggambaran akan dijalankan,” jelas Erma.

Ditanya tentang kesesuaian Joyah untuk ditawarkan berlakon bawah arahannya, Erma berkata, Joyah mempunyai nilai seni yang tersendiri.

“Dia faham benar tentang realiti pembikinan sesebuah drama televisyen dan dia membenarkan saya untuk membuat tokok tambah elemen yang sepatutnya.

“Sangat indah apabila dapat bekerjasama dengan seseorang yang amat berjaya dalam hidup. Bukan senang untuk anak Malaysia mengukir kejayaan dalam bidang perniagaan di AS, namun Joyah telah membuktikan segalanya,” tutur Erma.

Sementara itu, Erma bersama adiknya, pelakon Umie Aida dan pereka fesyen, Ashraff Zainal serta beberapa kru akan terlibat dengan pertunjukan Modest Beverly Hills Fashion Week sekitar Disember depan.

“Selepas kejayaan di New York, kami dijemput untuk memperagakan koleksi busana muslimah di Beverly Hills. Di sana nanti, kami juga akan menjalankan penggambaran telefilem Mak Cun VS Joyah Vegas.

“Untuk pertunjukan fesyen di Beverly Hills, saya dan pereka fesyen, Ashraff Zainal sedang bertungkus lumus memikirkan idea untuk koleksi peragaan kelak,” ujar Erma lagi.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.