Pemilihan Semula CEC DAP Berlangsung 12 November – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan diadakan 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media khas hari ini berkata, tarikh berkenaan dipersetujui Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau berkata, parti itu juga akur dengan arahan ROS untuk menggunakan semula senarai perwakilan DAP seramai 2,576 orang pada 2012 ketika sesi pemilihan semula itu nanti.

“Kita tak gentar untuk adakan pemilihan parti sama ada menggunakan senarai wakil 2012 atau senarai wakil baharu, kita teruskan dengan keputusan dibuat ROS pada 21 September lepas.

“Kita minta semua wakil berdasarkan senarai pada 2012 untuk hadir…tentu ada yang takkan hadir kerana meninggal dunia atau faktor lain, itupun dah dipersetuju ROS, mereka boleh dikeluarkan nama,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, DAP menerima surat daripada ROS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Arahan itu dikeluarkan berikutan ROS belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, pemilihan semula DAP akan diuruskan firma audit bebas, Grant Thornton yang bertindak sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan pemilihan firma antarabangsa itu sudah dipersetujui ROS.

Katanya, semua calon akan mengguna pakai senarai asal pada pemilihan 2012, selain senarai perwakilan yang akan terlibat dalam sesi pemilihan semula itu nanti sedang diaudit syarikat berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.