P.Pinang Belum Serah Laporan Kebolehlaksanaan Projek Terowong

KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang masih belum menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut seperti dijanjikan kepada Kementerian Kerja Raya 18 bulan lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Lim Guan Eng sebelum ini telah berjanji untuk menyerahkan laporan kajian itu selepas menulis surat kepada beliau untuk menggantikan projek terowong kepada jambatan pada April tahun lalu.

“Kita maklumkan Kementerian Kerja Raya tidak boleh meluluskan projek itu berdasarkan surat dua muka surat dan meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan kajian terperinci kebolehlaksanaan projek tiga jalan dan terowong yang membabitkan kos RM305 juta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihaknya mahu mengetahui bentuk laporan projek yang menelan belanja RM305 juta kerana berdasarkan pengalaman kementerian, jumlah itu terlalu besar.

Lembaga Jurutera Malaysia sebelum ini juga menyifatkan kos itu 400 peratus lebih tinggi, ujarnya.

“Sehingga kini, tiada laporan dikemukakan kepada saya. Selepas teragak-agak, Ketua Menteri Pulau Pinang memberi alasan kajian itu hanya 83 peratus siap dan berjanji akan menyiapkannya menjelang akhir tahun lalu dan menghantar kepada kementerian sebaik selesai.

“Namun, ia tidak berlaku,” tambahnya dan memberitahu apabila isu sama dibangkitkan Mac lalu, Guan Eng mengatakan kajian itu baru 87 peratus siap.

Beliau kemudian berjanji untuk menghantarnya enam bulan lagi.

“Sekali lagi, tarikh akhir sudah berlalu dan setakat ini kami masih belum menerima sebarang laporan,” katanya yang menyifatkan penangguhan ini sangat luar biasa kerana projek itu sudah dianugerahkan pada April 2013.

Fadillah berkata, jika keadaan sama berlaku ke atas projek kementerian, sudah tentu serangan dan kritikan dilemparkan oleh pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.