Elfira, Sufian Mahu Saling Melengkapi

Kalau sudah jodoh, terbang di langit atau bersembunyi di dalam perut bumi pun pasti tetap akan bertemu. Begitulah impian yang tersimpan kemas dalam hati penyanyi Sufian Suhaimi yang sejak dahulu sangat meminati pelakon Elfira Loy.

Melewati tempoh 10 tahun kemudian, siapa sangka wanita itulah yang bakal menjadi suri hidupnya. Memeterai janji untuk hidup bersama, mereka bertunang pada 6 Oktober lalu (Jumaat) di kediaman keluarga Elfira dengan suasana ringkas, namun penuh kemanisan.

Seawal majlis bermula hingga saat bergambar dan temu bual bersama wakil media yang hadir, baik Elfira mahupun Sufian, sejambak senyuman seperti tidak mahu gugur dari bibir mereka. Pada yang berbahagia, cinta dua anak muda itu kian hangat membara.

Tampak anggun dalam persalinan busana mewah rekaan RizmanRuzaini, Elfira menerima lima dulang hantaran dan berbalas tujuh kepada Sufian, manakala cincin tunang disarung oleh ibu Sufian, Sufian Daud tepat pukul 4 petang Jumaat.

Menyorot kisah cinta mereka, tempoh perkenalan antara Elfira dan Sufian memang tidak lama. Bertitik tolak dengan satu panggilan telefon dengan niat bergurau pada Februari lalu diikuti dengan kejutan-kejutan hari lahir yang menjadi tular di laman sosial, pemilik nama, Muhammad Sufian Suhaimi akhirnya berjaya menawan hati Elfira.

“Percaya atau tidak, adakalanya mimpi itu boleh menjadi kenyataan. Seperti yang sedang saya alami sekarang. Gadis yang dahulu diminati hanya menerusi televisyen kini duduk di sisi dan memegang gelaran tunangan saya.

“Saya bertuah kerana menjadi antara yang beruntung. Allah tunaikan antara hasrat yang tidak pernah saya terfikir akan bertukar menjadi realiti,” kata Sufian ketika ditemui pada majlis meraikan pertunangan mereka di Cheras baru-baru ini.

Bagi si manis Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 23, pula, biarpun dihujani dengan kata-kata negatif seperti terdesak mahu berkahwin, baru kenal sudah terburu-buru dan banyak lagi, dia memilih untuk tidak melatah dan menikmati fasa bahagia ini sepenuhnya.

Katanya, adalah menjadi suatu tindakan yang sia-sia untuk memikirkan hal orang luar berbanding daripada keluarga sendiri dan Sufian.

“Apalah sangat hendak diambil kira kata-kata orang yang tidak tahu apa yang berlaku dalam hidup saya. Setiap apa yang saya lakukan, pasti telah saya fikirkan baik buruknya.

“Lagipun perkenalan saya dengan Sufian mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak dan itu yang membuatkan hati saya yakin dengan hubungan ini,” tegasnya lagi.

Cincin sudah di jari dan meskipun pertunangan telah disimpul ketat, Elfira mengakui perbincangan berhubung penetapan tarikh pernikahan masih berjalan. Setakat ini, masing-masing bersetuju menetapkan Mac depan sebagai saksi penyatuan mereka, namun tarikh sebenar belum diputuskan.

Persediaan

Pelakon yang terkenal menerusi drama Qalesya itu menjelaskan, signifikasi bulan Mac dipilih kerana tarikh lahirnya jatuh pada 8 Mac dan dia mahu menjadikan detik tersebut sesuatu yang lebih istimewa menjelang tahun depan.

“Persediaan kami ke arah itu (nikah) masih dalam fasa awal kerana banyak rancangan pertunangan ini dibuat pada saat akhir. Jadi, persiapan ke arah itu juga masih pada peringkat awal.

“Mungkin kelihatan terburu-buru tetapi saya yakin benda baik wajar dipercepatkan. Insya Allah, semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya sambil melirik ke arah Sufian yang mengangguk setuju.

Bagi Sufian pula, segala perincian, tema dan konsep menjelang majlis perkahwinan mereka diserahkan sepenuhnya kepada Elfira kerana mahu buah hatinya itu berasa puas dengan hari penting dalam hidupnya.

Kata pelantun lagu Terasa Ada itu lagi, dia yakin Elfira memiliki cita rasa terbaik bagi menjadikan hari gemilang mereka suatu memori terindah dan menggembirakan kedua-dua keluarga yang bakal hadir.

“Saya jenis yang tidak kisah, asalkan orang tersayang tersenyum gembira. Lagipun saya pasti setiap wanita ada impian tersendiri dalam bayangan mereka untuk hari pernikahan jadi saya mahu dia memenuhi keinginan tersebut.

“Bagi saya, mungkin fokus persediaan itu lebih ke arah dalaman untuk bergelar suami dan ketua keluarga. Agak berdebar juga sebenarnya kerana selepas ini saya akan mempunyai isteri yang menjadi tanggungjawab sepenuhnya,” kata Sufian seraya membiarkan Elfira yang lebih banyak berbicara, sementelah dia gemar menjadi pemerhati.

Istimewa

Sudah lumrah dua insan bercinta, pasti tidak sempurna andai ia tidak disulami gaduh-gaduh manja dan drama air mata.

Bagi Elfira, sejak majlis merisik berlangsung 30 Jun lalu, hubungan mereka sudah dilanda dugaan apabila timbul gosip mendakwa Sufian mengurat isteri orang menerusi aplikasi sosial Bigo.

Jika diturut rasa hati dan cemburu buta, pastinya hubungan yang baru berputik tersebut sudah berada di hujung tanduk, namun Elfira lekas sedar dan kembali memegang pada janji untuk saling mempercayai.

“Saya kenal Sufian lelaki yang bagaimana dan saya percayakan dia. Jadi, walau apa sahaja gosip atau khabar angin, saya akan bertanya kepadanya sebelum membuat sebarang keputusan beremosi.

“Antara sebab saya jatuh cinta dengan dia ialah keupayaannya menyejukkan hati terutama apabila saya sedang baran atau merajuk. Dia adalah pelengkap pada kekurangan yang ada dalam diri saya,” luah Elfira malu-malu.

Turut meluahkan rasa sama, Sufian memberitahu, sepanjang berkenalan dengan tunangnya itu, hatinya sentiasa berada dalam keadaan tenang dan gembira.

Tambahnya lagi, sejak berniat mahu serius dengan Elfira, dia memulakannya dengan cara yang betul iaitu bertemu ibu bapa wanita itu untuk meminta izin kerana mahu hubungan mereka diberkati.

“Orang tua selalu kata, antara tanda si dia adalah jodoh kita ialah hati kita senang dan tenang dengannya. Itu yang saya alami dengan Elfira dan hal itu menyebabkan saya yakin bahawa dialah jodoh saya.

“Bersama dengan Elfira juga satu bonus kerana kami sama-sama berada dalam industri yang sama. Ini membuatkan dia lebih memahami setiap situasi yang saya alami. Dia wanita teristimewa,” luahnya sebelum menyimpul perbualan.-Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!