DSV Tidak Mahu Gopoh Soal Jodoh

Sebelum ini, jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) pernah mengakui sedang mengenali seorang jejaka Eropah berwajah persis selebriti bola sepak dunia, David Beckham yang berusia awal 30-an.

Ditanya lebih lanjut mengenai perkara itu pada majlis pelancaran klip video lagu nyanyiannya, I Am Me di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, DSV atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman tidak mahu bersikap gopoh untuk menamatkan zaman jandanya.

Katanya, dia juga bercadang untuk memperkenalkan lelaki tersebut kepada peminat dunia hiburan tempatan, namun menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, pengasas produk kecantikan Vida Beauty itu bercerita lanjut tentang klip video kedua lagu I Am Me arahan Ghaz Abu Bakar itu menelan kos kira-kira RM1 juta.

KOSMO!: Boleh ceritakan tentang klip video I Am Me yang katanya mencecah kos pembikinan sebanyak RM1 juta?

VIDA: Kalau diikutkan, klip video ini merupakan yang termahal di Malaysia. Kos produksi sahaja mencecah sekitar RM160,000. Kos-kos selebihnya termasuk dari segi busana, barang kemas dan lain-lain menggunakan duit daripada poket saya sendiri. Saya tidak kisah mengeluarkan wang asalkan hasilnya menjadi seperti apa yang saya inginkan.

Maaf bertanya, mengapa lagu anda sanggup berhabis-habisan menghasilkan klip video kedua untuk lagu I Am Me?

Sejujurnya, saya tidak berpuas hati dengan hasil klip video yang pertama. Seperti yang saya katakan tadi, saya tiada masalah untuk mengeluarkan wang asalkan membawa hasil apa yang saya mahu.

Tidak berniat untuk menyalahkan label KRU Music tetapi saya mengambil tanggungjawab untuk menghasilkan klip video mengikut acuan saya sendiri. Hasilnya, saya berpuas hati dengan klip video kali ini.

Jadi sebenarnya, bagaimana hubungan anda dengan komposer lagu berkenaan iaitu Edry Abd Halim?

Hubungan kami okey dan saya malas mahu bermasam muka. Disebabkan dialah, lagu ini menjadi popular dan saya berada di tempat sekarang. Mungkin ada salah faham yang berlaku antara kami sebelum ini, namun semuanya telah diselesaikan dengan cara baik.

Insya-Allah kalau diberi peluang bekerja dengan dia untuk single kedua nanti, saya tidak akan menolak kerana saya akui, Edry seorang komposer yang faham kehendak dan jiwa saya.

Sudah bersedia untuk menerima kecaman daripada orang ramai yang masih mempersoalkan status dan kerelevanan anda bergelar penyanyi?

Saya cuma berharap diberikan kekuatan. Kadang-kadang saya sedih akibat tidak dapat menerima ayat-ayat pedih daripada peminat tetapi saya sedar, ramai orang menyokong saya di belakang.

Saya pernah menangis membaca komen negatif netizen terutama apabila orang kata, money can’t buy you class (duit tidak boleh belikan anda kelas). Saya ingat sampai sekarang dan saya akan buktikan sesiapa sahaja yang sewenang-wenangnya berkata begitu, mereka ternyata salah.

Bagaimana perkembangan teman lelaki mat saleh yang anda ceritakan tempoh hari?

Ada. Saya tidak mahu bercerita lebih dan bersifat gopoh. Tengoklah macam mana nanti kalau ada peluang, saya ingin juga ‘menjual’ dirinya dalam industri hiburan tanah air.

Sekarang, saya simpan dulu dan kalau sudah sampai waktunya, saya akan dedahkan kepada orang ramai. Mungkin saya melibatkan dia dalam projek lagu atau klip video seterusnya, siapa tahu?

Namun, kalau saya melebih-lebih nanti, risau pula orang fikir saya tua tak sedar diri. Apa pun saya tidak peduli, usia hanya nombor.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.