Bikum Usaha Bawa Pulang Jenazah Wanita Mangsa Sindiket Dadah Di Peru

KUALA LUMPUR – Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum) akan membantu menguruskan dan memudahkan urusan pengkebumian jenazah Allahyarham Syzlin Hataman, 43, mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang meninggal dunia di Peru.

Syzlin yang berasal dari Johor meninggal dunia pada jam 6.50 petang waktu Peru atau 7.50 pagi waktu Malaysia akibat komplikasi beberapa penyakit seperti asma dan kencing manis.

Pengerusi Bikum, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan sama ada membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di Malaysia atau Peru masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, ini kerana ia mengambil kira beberapa perkara termasuk hasil perbincangan dengan waris keluarga Allahyarhamah.

“Semua urusan berkaitan akan dilakukan oleh Bikum dengan kerjasama Bahagian Kaunselor Kementerian Luar Negeri Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

“Segala urusan dan perkara berkaitan pengurusan jenazah sedang diusahakan dan kita akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa setelah mendapat kelulusan seterusnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Bikum di sini hari ini.

Beliau berkata, apa yang penting Umno mengambil tanggungjawab mengurus dan membantu serta menyelesaikan perkara itu kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab dan simpati.

Katanya, Bikum juga sedang berusaha membawa dua lagi rakyat Malaysia iaitu Noor Azimah Sapie, 37, yang terkandas di Peru dan memerlukan pelepasan khas untuk dibawa pulang melalui kerajaan Peru.

Katanya, seorang lagi yang akan dibantu ialah Noor Suzana Azmi, 35, yang merupakan bekas tahanan pihak berkuasa Peru kerana terlibat dengan sindiket dadah.

Menurutnya, pihaknya sedang berurusan dengan Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia di Peru, namun prosesnya mengambil masa kerana urusan yang agak rumit.

“Kita akan tanggung kos berkaitan urusan pengkebumian dan dua wanita yang akan dibawa pulang ini,” katanya.

Ketika ditanya tempoh masa diperlukan, beliau berkata, pihaknya akan menyelesaikan kes pengebumian jenazah Syzlin dalam tempoh dua minggu, manakala bagi urusan membawa pulang dua individu itu, dijangka akan selesaikan dalam pertengahan November.

Justeru katanya, Bikum berharap usaha itu akan menyatukan semula mereka dengan keluarga yang terpisah selain dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia, anak muda dan wanita terutamanya supaya berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang tidak diketahui hujung pangkalnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.