Khalid Tak Akan Sertai PAS, Mahu Bersara Lepas PRU 14

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat beberapa kali muncul dalam acara PAS termasuk membantu parti Islam itu berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

 

Namun, Khalid menafikan akan menyertai PAS atau menubuhkan parti baru sebaliknya beliau bercadang untuk bersara daripada politik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

“Kedua-duanya tak benar. Pertama saya sentiasa ada hubungan rapat dengan rakan-rakan PAS. Ini telah saya nyatakan apabila saya menceburi bidang politik.

 

“Saya disokong oleh rakan-rakan dalam PAS seperti ketika PRK di Ijok pada 2007 dan oleh sebab itu saya sentiasa bersama dengan PAS kerana parti yang sentiasa mengutamakan rukun dan sebab itu saya bersama.

 

“Saya tidak ada bercadang untuk meneruskan perhubungan politik saya selepas PRU14,” katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara 1: Media Penyelesaian Transformasi Media Internet di Garden Residence Cyberjaya.

 

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakannya yang dilihat beberapa kali muncul dalam acara PAS.

 

Julai lalu, Khalid berkata akan meninggalkan kerjaya politik selepas jawatannya sebagai menteri besar Selangor berakhir.

 

Sementara itu Khalid menyokong kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menolak DAP.

 
“Saya rasa prinsip PAS adalah prinsip yang menekankan.. kerana perjuangan PAS adalah perjuangan yang menentukan bahawa syariat Islam itu diutamakan.

 

“Jadi walaupun kita boleh hidup dalam keadaan berbilang kaum dan agama tapi konsep mengutamakan Islam itu adalah konsep yang dipegang oleh PAS dan saya sendiri menyokongnya.

 

“Oleh itu pemilihan rakan-rakan (PAS) berdasarkan konsep tersebut. Jika mereka yang terfikir bahawa perkara ini tak boleh diteruskan bermakna PAS tak perlu dapat rakan-rakan yang sebegini,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!