Jamin Tiada Insiden Jika Tiada Provokasi

GEORGETOWN – Himpunan Baju Merah memberi jaminan tidak akan berlaku insiden tidak diingini sekiranya perhimpunan Bersih 5 tidak membuat provokasi secara melampau.

 

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, tujuan baju merah adalah bagi menghalang secara aman Bersih 5 yang akan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

 

Menurutnya, namun sekiranya kumpulan baju kuning itu membuat provokasi yang melampau, pihaknya tidak teragak-agak untuk bertindak secara agresif.

 

“Di Pulau Pinang, saya memberi jaminan tidak akan berlaku insiden yang tidak diingini seperti yang berlaku di Sabak Bernam melainkan kumpulan baju kuning membuat provokasi yang melampau terlebih dahulu. Mereka yang sebenarnya suka memulakan dahulu, tetapi apabila kita (baju merah) bertindak balas, mereka menyalahkan kita pula.

 

“Oleh itu, jika tidak mahu berlaku insiden tidak diingini, maka jangan provok kami. Baju merah hanya mahu Bersih 5 tidak diadakan namun jika mereka berdegil, maka akan berlaku pertembungan. Dalam pertembungan itu, jika ada provokasi, maka akan ada tindakbalas agresif dan diluar kawalan. Baju Merah menghalang secara aman jika tidak diprovok Baju Kuning,” katanya ketika dihubungi.

 

Terdahulu, sebuah portal melaporkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang memakai baju Bersih 5 dikepung sekumpulan peserta baju merah di Sabak Bernam, Selangor.

 

Difahamkan, mereka pada mulanya menolak motosikal lelaki itu dan kemudiannya seorang peserta baju merah menendangnya lalu melemparkan objek seperti botol dan telur ayam.

 

Sementara itu, diminta mengulas berhubung konvoi Bersih 5 yang tidak mendapat sambutan di Bukit Mertajam, Rafizal berkata, rakyat kini semakin tidak mempercayai kredibiliti Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Menurutnya, imej Guan Eng yang tercalar dengan dakwaan rasuah dilihat tidak konsisten dengan tuntutan Bersih yang mahu rasuah dihapuskan.

 

“Guan Eng sendiri tidak praktik ‘walk the talk’, bagaimana rakyat nak percaya dengan tuntutan yang dibawa Bersih 5? Beliau sendiri terpalit dengan pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa, katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.