Pulau Pinang Bebas Anjing Gila

Georgetown – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menghentikan tindakan menghapuskan anjing mengikut Perintah Kawasan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015, apabila negeri itu diisytihar bebas anjing gila.

 

Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan keputusan itu hari ini selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri bahawa tiada kes baru dicatatkan.

 

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, perintah pemvaksinan masih dikekalkan dengan mewajibkan pemilik anjing mendapatkan suntikan vaksin untuk anjing mereka.

 

“Tiada lagi kes baru anjing gila di Pulai Pinang sejak 21 September lalu dan saya dimaklumkan bahawa kita mempunyai stok vaksin yang mencukupi.

 

“Ketika situasi kini terkawal, kami memutuskan untuk membatalkan perintah kerana Pulau Pinang kini bebas anjing gila,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar, dekat sini, hari ini.

 

Guan Eng dan kerajaan negeri dikritik hebat oleh kumpulan pencinta haiwan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas mengeluarkan perintah menghapuskan anjing liar di Pulau Pinang pada 15 September lalu, iaitu sebaik kes pertama anjing liar dikesan.

 

“Saya harap ini akan menutup kritikan dan tuduhan terhadap saya yang mengatakan saya makan anjing.

 

“Apa yang kami lakukan adalah untuk keselamatan orang awam dan itu menjadi keutamaan kami,” kata Guan Eng lagi.

 

Pulau Pinang mencatatkan empat kes anjing gila dan tiga kes gigitan anjing sejak 14 September lalu tetapi tiada individu yang dikesan dijangkiti penyakit itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.