Pasukan Petugas Khas Siasat 1MDB Tidak Pernah Dibubar – Peguam Negara

Putrajaya – Pasukan petugas khas bagi menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah dibubarkan dan siasatan yang dilakukan oleh agensi yang menganggotai pasukan itu tidak dihentikan atau terhalang.

 

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan petang ini merujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi pihak Raja-Raja Melayu, kelmarin yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB.

 

“Merujuk kepada kenyataan itu dan sebelum sebarang kenyataan atau komen negatif diberikan terhadap Jabatan Peguam Negara, ingin ditegaskan bahawa Pasukan Petugas Khas siasatan 1MDB tidak pernah dibubarkan dan pihak kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang bermaksud sedemikian (pembubaran).

 

“Peguam Negara sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi yang berkenaan apabila setiap kali siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, termasuk arahan untuk mempercepatkan siasatan.

 

“Sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menyelesaikan siasatan mereka berikutan kenyataan beberapa saksi utama masih belum direkodkan,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.