Pagi Ayah Jamin, Petang Mencuri Lagi

Kuala Lumpur – Baru sahaja dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah atas kesalahan mencuri pada sebelah pagi, seorang penganggur bertindak melakukan kesalahan itu pada sebelah petang hari yang sama.

 

Selasa lalu, penganggur terbabit, S John Kavin, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri RM1,346 di sebuah kedai makan dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

 

Bapa tertuduh yang berusia 70-an membayar wang jaminan itu pada sebelah pagi tetapi tertuduh ditangkap semula selepas mencuri pada sebelah petang.

 

Hari ini, John Kavin mengaku bersalah mencuri RM80 daripada dalam laci di kaunter kedai pakaian ZAR Artistiq Collections di Plaza Sungai Wang, Jalan Sultan Ismail, di sini, kira-kira 4 petang, 6 Oktober lalu.

 

Bagi kesalahan pertuduhan hari ini, John Kavin didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

 

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,500 ke atas tertuduh.

 

Mahkamah memerintahkan John Kavin menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu, 6 Okt lepas, dan sekiranya gagal membayar denda dia boleh dipenjarakan lima bulan.

 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.