Najib Terima Kunjungan Imam Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan Imam Masjid Al-Aqsa, Imam Ali Omar Yacoub Abbasi di kediaman rasminya di Seri Perdana di sini.

 

Perdana Menteri dan tetamu kemudian bersama-sama mengerjakan solat Maghrib, solat Isyak serta solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia dan Palestin yang diimamkan oleh Ali Omar.

 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Abdul Rahim dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

 

Dalam pertemuan itu, Ali Omar merakamkan penghargaan atas perjuangan perdana menteri membela nasib Palestin dan Masjid Al-Aqsa selama ini termasuk ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

 

Katanya tidak banyak pemimpin Islam yang berani membangkitkan isu Palestin dan mengutuk penindasan Israel secara terbuka seperti yang diperjuangkan oleh Najib.

 

Imam Masjid Al-Aqsa itu turut mendoakan kesejahteraan Malaysia dan Najib sendiri agar mampu berdepan dengan pelbagai cabaran untuk terus memimpin negara ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.