Matthias Chang Cuba Sabotaj Negara, Ditahan Di Bawah SOSMA

KUALA LUMPUR – Peguam kepada bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Matthias Chang hari ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama malam ini, mengesahkan perkara itu. Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh, berkata Matthias ditahan petang tadi ketika melawat anak guamnya (Khairuddin) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

 

“Dia ditahan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

 

Kedua-dua seksyen itu, masing-masing berhubung kesalahan sabotaj dan cuba untuk mensabotaj negara. Mohmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

 

Pada 28 Sept lepas, Matthias telah dipanggil bagi memberi keterangan di IPD Dang Wangi berhubung kes bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu.

 

Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 Sept mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

 

Pada 23 Sept, Khairuddin ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah SOSMA 2012 atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh mensabotaj negara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.