Imam Besar Masjidil Al-Aqsa Hargai PM Bela Palestin

PUTRAJAYA – Imam Besar Masjid Al Aqsa, Imam Ali Omar Yacoub Abbasi kagum dengan keberanian yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang mengecam tindakan Israel terhadap Palestin ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

 

Ali Omar yang turut menghargai perjuangan perdana menteri membela nasib Palestin dan Masjid Al-Aqsa juga menyifatkan tidak ramai pemimpin negara Islam yang berani menghentam Israel ketika berucap di atas pentas persidangan tahunan tersebut.

 

Katanya lagi, pemimpin Islam lain juga tidak berani membangkitkan isu Palestin dan mengutuk penindasan Israel secara terbuka seperti yang diperjuangkan oleh Najib.

 

Terdahulu, Ali Omar dan rombongannya hadir sendiri ke kediaman Najib di Seri Perdana Putrajaya untuk mengucapkan terima kasih diatas sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin dan Masjid Aqsa.

 

Dalam pertemuan itu, Ali Omar turut menyifatkan pendirian kerajaan Malaysia sangat murni kerana memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin, khususnya di Masjidil Aqsa.

 

Beliau turut memohon supaya semua masyarakat Islam berdoa untuk pembebasan Masjidil Aqsa agar semua umat Islam juga rakyat Malaysia dapat berkunjung dengan lebih kerap ke sana.

 

Menurut Ali Omar, tiada yang mustahil di dunia ini sekiranya Allah SWT mengkehendakinya dan meminta hadirin sama berdoa dan menawarkan bantuan sedaya mungkin kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing.

 

Imam Masjid Al-Aqsa itu turut mendoakan kesejahteraan Malaysia dan Najib sebagai pemimpin negara supaya mampu berdepan dengan pelbagai cabaran untuk terus memimpin negara ini.

 

Beliau yang kemudiannya bersama perdana menteri melakukan solat hajat solat demi kesejahteraan Malaysia dan Palestin.

 

Sementara itu, seorang daripada orang ramai yang turut hadir pada majlis tersebut dan mahu dikenali sebagai Hji Azman berkata, beliau tersentuh hati mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ali Omar.

 

“Sedih dan sangat pilu mendengar kisah umat Islam yang ditindas dengan kejam oleh Regim Zionis, Israel hampir 70 tahun. Ya Allah bantulah mereka,” katanya.

 

Menurut Azman, Ali Omar turut memuji Najib dan kerajaan Malaysia kerana berani menyatakan pendirian tentang Masjidil Aqsa dan kekejaman Israel kepada umat Islam di Palestin secara terbuka di PBB baru-baru ini, sedangkan negara-negara Islam yang lain hanya menyokong tetapi tidak berani bersuara secara terbuka.

 

“Terima kasih buat YAB PM kerana sudi menjemput kami rakyat biasa dalam program ini. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepasa umat Islam untuk terus bersatu,” katanya.

 

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Azeez Abdul Rahim dan Imam Besar Masjid Negara. Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.