Hina Sultan Johor ‘Berhala’, Khalid Ismath Direman

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan aktivis pro-pembangkang, Khalid Mohd Ismath di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menghina Sultan Johor dengan panggilan berhala.

 

“Jangan kita lupa, ada 2 orang yang sedang ditahan dipenjara sebelum dibuktikan bersalah. 1) Kamal Hisham 2) Khairuddin – mereka berdua melawan berhala.” tulisnya melalui akaun Twitter pada 6 Oktober lalu.

 

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada bekas peguam kepada keluarga Diraja Johor, Kamarul Hisham Jaafar dan bekas ketua Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan.

 

Awal September lalu, Kamal telah ditahan berhubung kes penipuan dan didakwa melakukan pecah amanah sebelum dibebaskan dengan jaminan.

 

SuaraTV pada 31 Ogos lalu melaporkan kenyataan Kamal yang menggesa Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turun dari takhta jika mahu terlibat dalam politik.

 

Sementara itu bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata, Khalid yang ditahan semalam akan direman selama dua hari kerana “penggunaan tidak sesuai kemudahan dan perkhidmatan jaringan”.

 

“Terdapat dakwaan dia (Khalid) tulis sesuatu berkaitan (peguam) Kamal Hisham Jaafar dan Sultan Johor,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

 

Menurut Arutchelvan lagi, Khalid ditahan di tempat kerja sebelum dibawa balik ke rumahnya di Klang, turut dirampas telefon bimbit, komputer dan modem Internet.

 

Dia kemudian dibawa ke balai polis Johor Bahru Selatan untuk direman berhubung bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

 

 

BACA: Bekas Peguam Istana Gesa Sultan Johor Turun Takhta, Masuk Politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.