AS Setuju Kongsi Pangkalan Data 86,000 Disyaki Pengganas

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) bersetuju berkongsi pangkalan data mengandungi lebih 86,000 individu yang disyaki atau dikenali sebagai pengganas di negara tersebut.

 

Sebagai timbal balas, Malaysia pula akan berkongsi maklumat mengenai senarai individu yang telah disabitkan terbabit dalam jenayah keganasan oleh mahkamah tempatan, termasuk individu yang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkongsian tersebut terkandung dalam dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6) yang ditandatangani beliau bersama Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam.

 

“Selain bagi mematuhi syarat program Pengecualian Visa AS, perjanjian arahan HSPD-6 membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dengan lebih rapat dalam menangani ancaman pejuang keganasan asing (FTA) termasuk kumpulan militam Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

 

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

 

Terdahulu Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja rasmi empat hari ke Washington menghadiri sesi taklimat oleh Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) mengenai isu politik global, keganasan termasuk ISIL, keselamatan di Laut China Selatan dan migrasi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.