50,000 Dijangka Sertai Perarakan Maal Hijrah Rabu Depan

PUTRAJAYA – Kira-kira 50,000 peserta dijangka hadir untuk menyertai majlis perarakan yang julung kali diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara pada 14 Oktober ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini per­arakan hanya diadakan ketika sambutan Maulidur Rasul tetapi bagi sambutan Maal Hijrah tahun ini pihaknya membuat keputusan untuk berarak sebagai mengambil pengajaran hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dari Mekah ke Madinah.

 

Beliau berkata, para peserta terdiri daripada kakitangan awam, badan berkanun, swasta, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, badan beruniform, persatuan belia, pelajar serta pertubuhan bukan kerajaan dan perarakan dijadual bermula pada pukul 7.45 pagi.

 

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga buat julung kalinya memilih Masjid Negara sebagai lokasi sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan pemilihan itu bersempena sambutan Jubli Emas masjid tersebut selain kedudukannya sebagai salah satu mercu tanda Islam negara ini.

 

“Majlis perasmiannya pula akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, dif-dif kehormat dan para duta,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

 

Jamil Khir berkata, Perpaduan Nadi Transformasi Negara telah dipilih sebagai tema penganjuran sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu tema yang sama digunakan untuk sambutan Maal Hijrah tahun lalu.

 

“Tema ini adalah amat signifikan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha kerajaan memperkasakan prinsip penerimaan, kenegaraan serta keadilan sosial yang menjadi teras kepada pembangunan sebuah negara yang maju dan seimbang,” katanya.

 

Beliau berkata, kemuncak bagi majlis sambutan itu adalah peng­anugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437 Hijrah/2015 Masihi.

 

Berhubung majlis penganugerahan tersebut, Jamil Khir berkata, jawatankuasa induk bersetuju menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh tempatan dan seorang tokoh antarabangsa.

 

“Kedua-dua penerima masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM100,000, sebuah plak, pingat serta sijil penghargaan,” katanya.

 

Selain itu, katanya, Jakim juga akan menganjurkan Forum Perdana Khas Maal Hijrah, bacaan surah Yasin serta doa akhir dan awal tahun pada 13 Oktober di Masjid Negara. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.