Warga Asing Cuba Godam Mesim ATM Di Bayan Baru

Bayan Baru – Dua lelaki dilapor cuba menggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Tengah, Bayan Baru pada 25 September lepas, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Beliau berkata laporan polis mengenai kejadian itu dibuat oleh pegawai bank berkenaan Selasa lepas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu yang merakam kehadiran dua lelaki rakyat asing berkulit cerah.

“Pegawai bank berkenaan menerima e-mel daripada ibu pejabat bank berkenaan yang mengarahkan cawangan itu memeriksa rakaman CCTV pada tarikh 22 September dari pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki berkulit putih itu membuka bahagian atas satu daripada mesin ATM di situ dan cuba melakukan sesuatu ke atas CPU berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas program High Profile Policing di Lorong Kulit hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rakaman, cubaan dua lelaki terbabit gagal dan mereka menutup semula bahagian atas mesin ATM berkenaan sebelum meninggalkan premis bank itu.

Abdul Rahim berkata pihak bank dan sekuriti bertugas tidak menyedari cubaan dua lelaki terbabit sehingga rakaman CCTV berkenaan dilihat semula.

“Tiada sebarang kerugian dialami bank berkenaan dan polis membuka kertas siasatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Beliau berkata polis berjaya mendapatkan imej dua lelaki terbabit menerusi CCTV di bank berkenaan dan imej itu diedar kepada orang ramai untuk membantu mengesan mereka.

Polis turut meningkatkan kawalan dan rondaan di semua ATM bank di negeri ini bagi mengelak kejadian menggodam ATM, katanya.

Kejadian menggodam mesin ATM milik beberapa bank dilapor berlaku di empat negeri baru-baru ini menyebabkan bank mengalami kerugian hampir RM3.1 juta dan berikutan itu polis melancarkan Ops Albatross bagi mengesan sindiket yang disyaki didalangi rakyat Amerika Latin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.