Sesungguhnya PAS Parti Assabiah – Tun M

Petaling Jaya – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagi meyakinkan ahli dan penyokongnya, tanpa menjadi kafir, PAS telah memperkenalkan perkataan Arab iaitu tahaluf siyasi untuk menghalalkan kerjasama mereka dengan orang kafir DAP.

Katanya, kerjasama antara PAS dan DAP ini tidak jauh bezanya antara kerjasama antara UMNO dengan MCA dan MIC yang tidak disebut dan dijelaskan.

“PAS amat pintar dengan penggunaan Islam dan Bahasa Arab untuk menghalalkan yang haram apabila dilakukan oleh mereka dan mengharamkan perbuatan yang sama apabila dilakukan oleh UMNO.

“Saya tidak dapat mengenalpasti dari mana datangnya tahaluf siyasi ini dan bila orang Islam dihalalkan apabila melakukannya,” katanya dalam entrinya di http://chedet.cc/.

Dr Mahathir turut mempersoal bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan DAP sedangkan DAP secara terang-terangan menolak negara Islam dan hudud PAS, tidak seperti MCA dan MIC yang tidak menentang perjuangan Islam UMNO.

“Kerana kerjasama ini disebut sebagai tahaluf siyasi dalam Bahasa Arab, maka kerjasama ini tidak menjadikan PAS kafir.

“Maka berpeluk-peluklah pemimpin PAS dengan pemimpin kafir. Dan di masa yang sama permusuhan dengan orang UMNO diteruskan kerana kerjasama UMNO dengan orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam tidak diberi nama Arab iaitu tahaluf siyasi,” ujarnya.

Beliau menambah, sesungguhnya PAS masih tidak berjaya menjadi kerajaan di peringkat pusat dan telah ditipu oleh DAP.

Beliau berkata, ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dimana bilangan yang mempunyai kerusi terbanyak dalam Pakatan Rakyat ialah DAP dengan 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan PAS hanya 21 kerusi.

“Sementara Pulau Pinang kekal ditangan DAP, Selangor ditangan PKR dan PAS hilang negeri Kedah,” katanya.

Tambahnya, ahli PAS begitu taksub dengan pemimpin mereka sehingga apabila pemimpin mereka menghina Allah SWT dengan mendakwa Allah mencarut, kesetiaan mereka kepada PAS tetap tidak terjejas.

“Sesungguhnya parti PAS adalah parti assabiah,” ujarnya.

– FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.