Saya Mahu Tahu Berapakah Cukai Yang Kita Kumpul – Anwar Irahim

Kuala Lumpur – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan agar mendedahkan kutipan cukai daripada 20 orang hartawan bertaraf bilionair di dalam negara.

Beliau antara lain menamakan mogul telekomunikasi, Tan Sri T Ananda Krishnan; anak bekas perdana menteri, Datuk Mokhzani Mahathir; dan Tan Sri Vincent Tan sebagai hartawan-hartawan tersebut.

“Saya mahu tahu daripada 20 bilionair di negara kita ini berapakah jumlah cukai yang kita kumpulkan?” Kata Anwar di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menyokong Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan 2014).

“Saya menyokong pindaan ini yang memberikan lebih autonomi kepada LHDN,” kata Anwar.

Menurut Anwar, beliau mahu tahu jumlah tersebut kerana dakwanya, ada di antara golongan kaya di dalam negara mendapat kelonggaran dalam membayar cukai mereka.

“Tidak mudah bagi orang biasa bagi mendapat kelonggaran tapi ada maklumat di mana LHDN ditekan.

“Di mana orang-orang kaya, bilionair, boleh diberi kelonggaran, bayaran ansuran 18 bulan, umpamanya.

“Kalau ini cara yang konsisten diberi kepada semua, yang berhak, saya tidak masalah.

“Tetapi tentunya tidak boleh diberi pengecualian kerana perkara ini dari segi fakta pernah berlaku dan saya harap dengan perubahan ini, kita dapat jamin (LHDN) lebih efisien, lebih profesional dan autonomi bermakna ada tekad untuk melaksanakan (kutipan cukai) tanpa memilih kedudukan atau kekayaan seorang itu,” kata ketua pembangkang lagi.  – MK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.