Mangsa Yang Maut Akibat Letupan Dikenal Pasti

Kuala Lumpur – Mangsa yang meninggal dunia akibat letupan bom di Jalan Bintang, Bukit Bintang, dekat sini, pagi tadi dikenali sebagai Tiong Kwong Yie.

Polis Kuala Lumpur sebentar tadi mengesahkan mangsa berusia 36 tahun dan berasal dari Sarawak.

Mangsa dilaporkan seorang pekerja joki kereta mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi meninggal dunia selepas itu.

Sementara itu, 10 lagi mangsa kejadian yang terlibat dilaporkan stabil.

Bagaimanapun, tiga daripada mangsa iaitu seorang warga Thailand dan dua warga tempatan dipindahkan ke Hospital Gleneagles manakala baki mangsa masih dirawat di HKL.

Jurucakap HKL, ketika ditemui mengesahkan perkara itu.

Dalam pada itu polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di kawasan sekitar letupan berkenaan adalah selamat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, berkata orang ramai tidak perlu risau mengenai letupan susulan dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Saya beri jaminan tempat kejadian adalah selamat, orang ramai tidak perlu bimbang dan boleh meneruskan kerja seperti biasa.

“Saya harap orang ramai tidak mendengar sebarang spekulasi yang tersebar di media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, sebentar tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.