Laporan Awal CB204 : Cuaca Dan Laut Bergelora, Masalah Teknikal – Hishammuddin

Kuala Lumpur – Laporan awal berhubung insiden kehilangan bot tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) CB204 bersama tujuh anggota di perairan Pulau Mengalum, Sabah pada Ahad lalu, sudah diterima.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata laporan awal yang diterima daripada Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar itu menjelaskan bahawa insiden berkenaan berpunca daripada cuaca buruk dan masalah teknikal.

“Laporan awal banyak berkisar kepada cuaca dan laut bergelora… dan juga masalah teknikal.

“Saya dah minta satu lembaga siasatan diwujudkan dan saya dah dimaklumkan oleh Panglima TLDM bahawa beliau sudah arahkan (tubuh lembaga siasatan).” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, sebentar tadi.

Hishammuddin berkata, lembaga siasatan itu diharap dapat menjelaskan maklumat dengan lebih terperinci mengenai punca kejadian.

“Kita harap dapat pastikan secara terperinci punca kejadian dan kelemahan sekiranya ada daripada insiden itu,” katanya.

CB204 hilang di perairan Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari Kota Kinabalu pada jam 11.15 pagi Ahad lalu selepas hilang komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke Terumbu Layang-Layang.

Lima kru bot berkenaan selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, tepat jam 12.50 tengah hari, semalam.

Mereka tiba bersama bot tempur yang ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Ganas sejak jam 4 pagi kelmarin selepas ditemui keletihan berhampiran Terumbu Layang-Layang di perairan pantai barat Sabah pada jam 6.49 petang Isnin, kira-kira 90 batu nautika dari Kota Kinabalu.

Lima kru itu ialah Leftenan Azri Bakar yang mengetuai CB204, Bintara Muda Ince Ewin, Bintara Muda Nor Azuan Ariffin, Leftenan Komander Sulhajji Daah dan Lans Koperal I Azhry Maani.

Manakala dua kru bot terbabit, Bintara Kanan Charles Cristopher Muni dan Bintara Muda Steven Hudson yang mengalami masalah kesihatan, diterbangkan terus ke Pangkalan TLDM dengan pesawat Super Lynx untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, petang kelmarin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.