Kesatuan Eropah Sokong Cadangan Mansuhkan Hukuman Mati

Petaling Jaya – Kesatuan Eropah (EU), yang berpendirian tegas menentang hukuman mati, menyokong cadangan Malaysia untuk memansuhkan hukuman itu.

Duta dan Ketua Delegasi EU di Malaysia Luc Vandebon berkata EU sedang menunggu semakan Malaysia berhubung pemansuhan hukuman mati bagi pengedar dadah, seperti diumumkan sebelum ini pada tahun ini, seperti termaktub dalam rangka kerja Semakan Berkala Sejagat (UPR).

“Kami difahamkan Peguam Negara Malaysia sudah melakukan kajian terhadap hukuman mati ke atas pengedar dadah. Kami juga difahamkan hasil kajian itu akan siap akhir 2014,” katanya kepada pemberita pada pameran “Give Life A Second Chance” di sini hari ini.

Pameran itu diadakan sempena Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia, disambut pada 10 Okt setiap tahun.

Ia dianjurkan oleh delegasi EU di Malaysia, Kedutaan Switzerland, Suruhanjaya Tinggi British, Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Amnesty International Malaysia dan Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor.

“Jadi kami semua, menunggu dengan sabar, tetapi dengan penuh minat mahu mengetahui hasil kajian itu,” katanya.

Vandebon berkata EU berpandangan pemansuhan hukuman mati akan menyumbang kepada pemerkasaan maruah manusia dan perkembangan pesat hak asasi manusia.

Hujahan paling tepat terhadap hukuman itu adalah sebarang kesilapan mahkamah tidak boleh ditarik balik, tegasnya.

Vandebon berkata Eropah ketika ini merupakan satu-satunya wilayah di dunia yang tidak lagi mengguna pakai hukuman mati dan pemansuhannya juga menjadi prasyarat bagi calon negara yang memohon menyertai EU.

Beliau berkata ketika ini Malaysia ialah antara 58 negara di dunia yang masih mengekalkan hukuman mati.

Menurut Laporan Amnesty International’s Death Sentences and Executions 2013, Malaysia menjatuhkan sekurang-kurangnya 76 hukuman mati tahun lepas berbanding 60 pada 2012.

Dianggarkan 992 orang sedang menunggu hukuman mati di negara ini dan kebanyakannya bagi kesalahan mengedar dadah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni berkata pameran itu dianjurkan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung isu itu.

Pada masa sama pertubuhan ini turut menggalakkan orang ramai untuk menandatangani tiga petisyen, khusus untuk menyatakan sokongan terhadap pemansuhan hukuman mati di Malaysia, katanya.

Beliau berkata petisyen itu, turut diboleh diakses secara dalam talian di www.aimalaysia.org, akan dikumpulkan pada akhir November sebelum satu memorandum diserahkan kepada Perdana Menteri.

Pameran itu diadakan di ruang legar pusat beli-belah One Utama di sini sehingga Ahad ini sebelum dipindahkan ke The Ledge Art Gallery dari 15 hingga 26 Okt.

Antara ditonjolkan pada pameran itu adalah potret banduan-banduan akhir dirakamkan jurugambar berpangkalan di New York Toshi Kazama dan sel penjara berdasarkan model sel penjara bekas Penjara Pudu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.