Hujah Menarik IMF, Subsidi Tersasar Untuk Golongan Memerlukan

Kuala Lumpur – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi hujah menarik mengenai pemansuhan subsidi tenaga seperti petrol, dan menggantikannya dengan subsidi bersasar untuk golongan yang memerlukannya.

Dalam kajian bertajuk ‘Reformasi Subsidi Tenaga: Pengajaran dan Implikasi’ IMF berkata kumpulan 20 peratus teratas dalam kalangan penduduk memperoleh enam kali lebih banyak subsidi tenaga berbanding 20 peratus terbawah, sekali gus mewujudkan ketidaksaksamaan.

Ironisnya kumpulan 20 peratus teratas mampu, manakala kumpulan 20 peratus terbawah tidak mampu. Tidakkah lebih baik wang yang dibelanjakan untuk ‘membantu’ kumpulan 20 peratus teratas ini dibelanjakan dengan lebih baik jika disasarkan kepada kumpulan 20 terbawah.

IMF berkata bahawa subsidi bahan api juga memberi tekanan ke atas belanjawan negara, meningkatkan tahap hutang, memesongkan peruntukan sumber dengan menggalakkan penggunaan tenaga secara berlebihan.

Malangnya, kebanyakan rakyat Malaysia gagal memahami isu ini, sebaliknya memikirkan bahawa subsidi baik dan wajar dikekalkan selama-lamanya.

Ada yang mengatakan bahawa subsidi bahan api tidak wajar dikurangkan semasa harga minyak dunia turun.

Tetapi sebenarnya, inilah masa terbaik untuk mengurangkan subsidi – pelarasan yang kurang menyakitkan.

Perbandingan antara Malaysia dan United Kingdom sudah dibuat, dengan United Kingdom mengurangkan harga petrol.

Namun di United Kingdom, petrol dikenakan harga pasaran penuh, dan mereka yang memiliki kenderaan terpaksa membayar kos insurans motor yang tinggi dan cukai ke atas pelepasan asap kereta.

IMF dengan jelas menyatakan : “Kerajaan akan memperoleh nilai yang lebih baik ke atas wang jika mengurangkan atau mansuhkan subsidi dan menyasarkan wang terus kepada program yang membantu golongan miskin.”

Ia menggesa subsidi tenaga dimansuhkan dengan peningkatan harga dilakukan secara beransur-ansur dan melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi golongan miskin menerusi bantuan tunai bersasar.

Malangnya, mereka yang tidak puas hati terus-menerus membuat perbandingan dan memberikan contoh-contoh yang mereka rasakan menyebelah mereka, dan gagal menghargai gambaran yang lebih besar yang perlu mereka perakui.

Sebagai contoh, mereka yang memperkatakan mengenai subsidi bahan api India bagi mewajarkan hujah masing-masing supaya subsidi bahan api di Malaysia diteruskan, gagal menyedari bahawa kajian Ekonomi India baru-baru ini menunjukkan bahawa India perlu keluar daripada skim subsidi yang memesongkan harga, sebaliknya menyediakan subsidi tunai kepada isi rumah di bawah garis kemiskinan.

Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun lepas – mewujudkan mekanisme untuk perkongsian kekayaan negara dengan golongan miskin secara lebih berkesan.

Namun tidak ramai yang memberikan kredit ke atas kerajaan yang membuat keputusan yang tepat, walaupun tidak popular dari segi politik.

Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan contoh subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada golongan miskin berbanding subsidi bahan api.

Akhirnya, subsidi bersasar menjurus kepada pengurangan paras kemiskinan dan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

Mari kita lihat perangkaan di Malaysia. Penggunaan bahan api semasa ialah di sekitar 24 bilion liter setahun.

Pengurangan subsidi 20 sen berjumlah ‘penjimatan’ sebanyak RM4.8 bilion setahun.

BR1M 3.0 pada Februari 2014 memperuntukkan pembayaran tunai berjumlah RM4.6 bilion kepada kira-kira tujuh juta penerima. Jelas pengurangan subsidi bahan api boleh mengimbangi kos BR1M.

Ramai tidak menyedari bahawa RM4.6 bilion yang diberikan kepada isi rumah ini sebenarnya disuntik semula ke dalam ekonomi tempatan.

Apa yang berlaku ialah penerima membelanjakan wang ini ke atas perniagaan tempatan, membeli makanan, pakaian dan keperluan isi rumah yang lain daripada peniaga tempatan.

Sebagai contoh, Daerah Kemaman yang mempunyai 20,000 keluarga yang merupakan penerima BR1M.

Wang yang mereka terima digunakan untuk membeli keperluan dan barangan seperti pakaian, makanan dan perkhidmatan – seperti perkhidmatan dandanan rambut yang sekali gus menjana limpahan dan impak kepada ekonomi tempatan.

Selain itu usahawan, antara lain, boleh menggunakan wang untuk memulakan peniagaan kecil sendiri – ia mungkin membuka gerai lemang di tepi jalan atau kumpulan orang menubuhkan konsortium untuk membuka kafe Internet.

Justeru, daripada subsidi bahan bahan api, jauh lebih baik subsidi yang disasarkan seperti BR1M yang sebenarnya bertindak sebagai pemboleh ekonomi untuk golongan miskin. Ia membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup.

Pada masa ini, BR1M dibayar pada asas setahun, namun ada yang mengatakan bahawa menerusi pengurangan subsidi bahan api yang lebih besar pada masa depan, ada peluang yang lebih baik untuk BR1M di bayar setiap suku tahunan, dan menyediakan ‘pendapatan’ yang lebih mampan untuk golongan miskin.

Daripada hanya memberikan contoh negara yang memberi subsidi bahan api dan menafikan manfaat jangka panjang pemansuhan subsidi bahan api, pengkritik wajar menimbang kesan jangka panjang subsidi bersasar seperti BR1M dan kesannya ke atas individu, isi rumah dan ekonomi tempatan.

Inilah antara banyak sebab subsidi bersasar disambut baik oleh IMF.

Berbalik kepada perbandingan dengan United Kingdom — subsidi bersasar di sana termasuk manfaat ke atas kanak-kanak dan penganggur dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Menerusi lebih banyak pengurangan subsidi bahan api yang membebaskan aliran tunai negara, kerajaan kelak boleh menimbang bentuk subsidi bersasar lain kepada golongan yang memerlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.