Cuaca Buruk, Laut Bergelora Antara Punca Bot Tempur Hilang – Hishammuddin

Kuala Lumpur – Laporan awal siasatan berhubung insiden kehilangan bot tempur CB204 lebih 30 jam di perairan Mengalum, Sabah, Ahad lepas menunjukkan ia berpunca daripada keadaan cuaca serta masalah teknikal, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata cuaca buruk, laut bergelora dan masalah teknikal yang dihadapi bot berkenaan merupakan punca insiden itu berlaku.

“Laporan awal sudah diterima. Ia banyak berkisar kepada faktor cuaca, laut bergelora dan masalah teknikal,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini Khamis.

Bot tempur CB204 dengan tujuh anak kapal belayar dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu pada 5 pagi, Ahad lepas untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau, telah terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring KD Paus pada 11.15 pagi.

Bagaimanapun, bot tempur CB204 berjaya ditemui pada petang Isnin dan mula ditunda oleh KD Ganas untuk dibawa balik ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 10 malam, Selasa dan selamat tiba pada 12.50 tengah hari, Rabu.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar telah memaklumkan kepada beliau tentang penubuhan sebuah lembaga siasatan berhubung insiden itu oleh TLDM.

Katanya, lembaga siasatan itu ditubuhkan bagi mengenal pasti secara terperinci punca insiden serta kelemahan yang ada.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila bot tempur itu dengan semua tujuh kru kapalnya selamat.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menyelamatkan anggota TLDM kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.