Chong Wei Pertahan Anugerah Perdana TYT Pulau Pinang

Georgetown – Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dinobat sebagai pemenang Anugerah Perdana TYT Negeri Pulau Pinang dan Olahragawan negeri 2013, sekali gus mengulangi pencapaian cemerlangnya pada tahun 2012.

Jaguh badminton negara itu bagaimanapun tidak dapat hadir untuk menerima anugerah berkenaan daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada Majlis Anugerah Sukan 2013 di Hotel Traders di sini.

Chong Wei yang diwakili Pengarah Majlis Sukan Negeri Frederick Tan Teck An, tidak dapat hadir kerana neneknya meninggal dunia, Isnin lepas.

Sementara itu, Olahragawati negeri dianugerah kepada Ratu Skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang baru meraih pingat emas dalam skuasy perseorangan wanita pada kejohanan Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan.

Nicol juga tidak dapat hadir untuk menerima anugerah berkenaan kerana terikat dengan latihan rutinnya di Amsterdam, Holland dan diwakili bapanya Desmond David.

Chong Wei dan Nicol, masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Anugerah Olahragawan Harapan pula diraih atlet renang Alwyn Tan Yean Yang, 17, yang berjaya memenangi dua pingat emas pada Sukan Malaysia di Perlis baru-baru ini.

Atlet skuasy, Vanessa Raj, 18, dianugerah Olahragawati harapan 2013 atas kejayaan memenangi dua pingat emas dalam acara individu dan berpasukan wanita pada Temasya Sukan Belia Asia di Nanjing, tahun lepas.

Mereka masing-masing membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Selain itu, skuad karate turut mencapai kejayaan cemerlang apabila berjaya meraih Anugerah Pasukan Lelaki dan Wanita terbaik 2013.

Anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2014 pula diraih Timbalan Presiden Persekutuan Karate Malaysia Lim Chee Jin dan Anugerah Jurulatih terbaik 2013 dinobatkan kepada Jurulatih Karate negeri Lim Lee Lee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.